Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 20 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memuktamadkan keputusan mengenai rundingan semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan China tidak lama lagi.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sekiranya rundingan yang diketuai oleh Tun Daim Zainuddin itu berhasil, kerajaan akan meneruskannya dengan skala yang lebih sesuai.

“Kerajaan telah melantik Tun Daim sebagai utusan khas Perdana Menteri bagi mengetuai proses rundingan semula projek ECRL dengan China supaya penyelesaian menang-menang dapat diperoleh.

“Hasil rundingan ini akan dimaklumkan apabila dimuktamadkan sedikit masa lagi. Jika rundingan semula ini berhasil, kerajaan yakin projek ECRL akanditeruskan pada skala yang sesuai dengan manfaat yang bakal dijana,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ismail Mohamaed Said (BN-Kuala Krau) pada sesi pertanyaan jawapan lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ismail bertanya mengenai status terkini projek ECRL serta langkah sama ada kerajaan akan meneruskan projek itu demi pembangunan bago merancakkan pertumbuhan ekonomi di Pantai Timur.

Dalam pada itu ketika menjawab soalan tambahan, Mahathir memberitahu, projek ECRL yang dikecilkan skalanya akan memberi kemudahan kepada negeri-negeri di Pantai Tiumur.

“Kita sedar untuk batalkan perjanjian mengenakan kos yang tinggi. Sebaliknya, kalau projek ini diturunkan skalanya kecil atau dipendekkan.

“Kita dapat kemudahan sepatutnya bagi negeri-negeri Pantai Timur tanpa belanja wang dan hutang yang terlalu banyak. Sebab itu kita masih berunding untuk keuntungan negeri-negeri Pantai Timur kerana kita sedar negeri-negeri ini kecuali Terengganu berhutang banyak kepada kerajaan Pusat.

“Kita tak nak bebankan mereka dengan hutang yang lebih banyak,” ujarnya. – MalaysiaGazette