Tun M Tetap Sayang MAS Airlines | EDISI MG 20 MAC 2019

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sedang mengkaji sama ada mahu menerima ataupun menolak langkah pihak-pihak tertentu yang berhasrat mahu membeli Malaysia Airlines Bhd. yang kini sedang dilanda kemelut dan masih lagi mengalami kerugian.

Tun Dr Mahathir juga berhasrat mahu menjadikan Malaysia Airlines sebagai sebuah syarikat penerbangan nasional namun, dengan keadaan yang telah berlaku hasrat tersebut mungkin tidak akan tercapai.

Sehingga jam 9 pagi tadi, hanya 44 pesakit masih mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) ekoran pencemaran toksin di Pasir Gudang semakin berkurangan manakala jumlah pesakit yang telah dibenarkan pulang adalah seramai 40 orang.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Safian berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mengambil keputusan untuk menutup secara rasmi Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana dan Pusat Rawatan Medic Base Stadium Tertutup Pasir Gudang pada 12 jam tengah hari ini.

Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mendapat peruntukan sebanyak RM338 juta untuk Program Pembangunan RISDA diagihkan kepada 552,543 orang pekebun kecil di seluruh negara tahun ini.

Peruntukan itu diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merangkumi Program Tanam Semula Getah, Prasarana Asas Pertanian, Aktiviti Ekonomi Tambahan dan Keusahawanan, Skim Insentif Produktiviti Getah, Khidmat Pengembangan dan Latihan Pekebun Kecil.