KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Bhd (PNB) tidak pernah melulus atau mempertimbangkan sebarang program terbitan bon boleh tukar.

“PNB sentiasa menilai dan meneliti pelbagai cara dan kaedah untuk meningkatkan modal bagi aktiviti pelaburan domestik dan global, termasuk instrumen hutang seperti pinjaman jangka panjang, sukuk dan bon boleh tukar ganti.

“Bagaimanapun, setakat ini Lembaga Pengarah PNB tidak meluluskan dan tidak menimbangkan program bon boleh tukar yang boleh diterbitkan oleh PNB,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan berkenaan dibuat sebagai mengulas laporan Bloomberg bertajuk “Biggest Malaysia State Fund Weighs Debut Exchangeable Bond Sale” yang mendakwa pengurus dana terbesar negara itu sedang menimbang penjualan bon boleh tukar yang pertama untuk meraih dana bagi pelaburan di luar negara.

Sebaliknya, PNB berkata, pinjaman sedia ada atau pada masa akan datang, jika dilaksanakan, hanya akan melibatkan portfolio proprietari PNB dan tidak melibatkan dana unit-unit amanah yang dikendalikannya.

Unit-unit amanah dipisahkan dan berbeza dengan dana proprietari PNB.

Tambahnya, operasi dan pelaburan dana amanah saham seperti Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Nasional dikawal ketat oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan di bawah peraturan pengawal selia itu.

“Tidak ada pengurus dana amanah saham, termasuk PNB, dibenarkan untuk melaksanakan apa-apa pinjaman dana itu atau membebankan aset di bawah dana ini untuk sebarang tujuan,” tambah PNB.

Berikutan itu, kata PNB, sebarang spekulasi mengenai perkara ini adalah tidak berasas.

Malah, PNB menegaskan sebagai pengendali kepada kekayaan rakyat Malaysia, PNB sentiasa berpandukan kepada mandatnya  dalam semua keputusan pelaburan yang dibuat dan komited kepada piawaian tertinggi dan integriti. – MalaysiaGazette