Salahuddin Ayub
Datuk Salahuddin Ayub. foto IQBAL BASRI, 17 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, beliau tidak akan campur tangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap setiausaha politiknya yang ditahan hari ini.

“Saya akan membiarkan undang-undang mengambil tempatnya. Beliau juga seperti rakyat Malaysia yang lain yang tertakluk kepada undang-undang.

“Saya berpegang teguh kepada prinsip keluhuran undang-undang dan saya yakin dan percaya pihak SPRM akan menyiasat kes ini dengan adil dan bebas.” katanya dalam kenyataan susulan penahanan setiausaha politiknya oleh SPRM petang tadi.

Difahamkan setiausaha politik Salahuddin berusia 47 tahun itu ditahan kiraa-kira pukul 5 petang tadi selepas memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung penerimaan jam tangan mewah bernilai kira-kira RM28,000.

Beliau ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Menurut sumber, pemberian jam itu dipercayai sebagai dorongan dari sebuah syarikat untuk membolehkan projek di bawah kementerian berkenaan dapat dibangunkan.

Suspek ditahan untuk melihat sejauh mana beliau terbabit dalam kes itu. SPRM juga sedang menyiasat kemungkinan kewujudan kes rasuah lain.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan penahanan itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek pagi esok di Mahkamah Majistret Putrajaya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: Setiausaha Politik menteri terima jam mewah ditahan SPRM