Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersalaman dengan sebahagian pemain Pertandingan Futsal Rakyat sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Taman Sri Intan, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 07 APRIL 2019

SEREMBAN – Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan Datuk Seri Najib Razak sebagai pemimpin teruk adalah tepat.

Bagaimanapun, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengulas lanjut mengenai kenyataan perdana menteri itu dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar tempatan.

“Kalau ikut dari segi kerugian dan cara pengurusan serta kepentingan peribadi dan keluarga memang belum ada dalam sejarah perdana menteri yang perlakunya seperti itu.

“Jadi, Tun Mahathir tepat dalam kupasannya,” katanya ketika diasak media dalam sembang santai bersama penduduk Kampung Sega Hilir, Rantau petang tadi.

Hampir 150 orang penduduk Melayu dan India dari kampung kubu kuat Barisan Nasional itu.

Anwar yang juga ditanya lanjut mengani pandangan Dr Mahathir berkata:

“Saya baca temuramah Tun Mahathir dan saya ucap terima kasih atas keyakinan yang ditunjukkan kepada saya dan saya hargai,” ujarnya sebelum beredar meninggalkan kampung itu.

Dalam wawancara itu, Dr Mahathir berkata, meskipun pernah berseteru, beliau beranggapan Anwar lebih baik berbanding Najib.

“Antara Anwar dan Najib, Najib lebih teruk berbanding Anwar,” katanya.

Malah, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, menggantikan Anwar dengan seseorang seperti Najib lebih mudah diterima berbanding membiarkan Najib terus berkuasa.

Sebab itulah, Dr Mahathir memilih untuk bekerja dengan Anwar, biarpun apa yang pernah berlaku antara mereka pada masa lalu.- MalaysiaGazette