Dr. S. Streram

SEREMBAN – Datuk Seri Mohamad Hasan diminta tampil menjelaskan status sebuah rumah Minangkabau di Seremban 2 yang didakwa milik beliau.

Calon Pakatan Harapan, Dr. S. Streram berkata, calon Barisan Nasional itu bertanggungjawab untuk menjelaskan pemilikan rumah itu kerana gambar dan klip video itu viral dalam media sosial WhatsApp.

“Saya telah melihat klip video dan gambar rumah berkonsepkan Minangkabau di Seremban 2 yang viral dalam WhatsApp dan saya tidak tahu atau mempunyai maklumat rumah itu kepunyaan siapa.

“Tetapi kami mengandaikan ia sepatutnya rumah Tok Mad memandangkan gambar rumah itu tular dalam WhatsApp.

“Bagaimanapun saya merasakan adalah lebih baik bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu tampil menjelaskan dan membetulkan keadaan ekoran soalan tercetus mengenai rumah itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui Pekan Kuala Sawah, Rantau semasa kempen beliau hari ini.

Tambah beliau, penjelasan bekas ADUN Rantau berhubung pemilikan kediaman itu penting kerana sebelum ini Tok Mad pernah mendakwa dirinya tidak mempunyai wang untuk membeli rumah.

“Penting untuk Tok Mad tampil menjelaskan keadaan kerana apabila dia kata tidak mempunyai wang untuk membeli rumah, dia lupa dia membeli rumah di Seremban, dia mampu membeli apartmen di London.

“Sekarang dia tinggal di mana? Kami juga ingin tahu sama ada dia tinggal di rumah sewa atau rumah sendiri, biar dia tampil dengan penjelasan yang relevan kerana ia berkaitan soal maruah dan personaliti dia,” ujar.

Pakar bius itu juga membangkitkan wang tunai RM10 juta yang dikatakan dipindahkan beliau menerusi pengurup wang untuk membeli apartmen di London.

‘Kenapa dia tidak menggunakan saluran betul seperti pemindahan wang melalui bank? Boleh dia buktikan bagaimana dia mampu memasukkan wang itu dan sumbernya.

‘Dia dakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membiarkan dia dalam soal itu, dan saya rasa SPRM perlu tampil menjelaskan perkara ini.

“Kita mahu tahu bagaimana sebuah premis pengurup wang yang diambil tindakan sehingga operasinya ditutup boleh digunakan untuk transaksi memindahkan wang,” soalnya lagi.- MalaysiaGazette