Tan Sri Muhyiddin Yassin
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap ketika sesi sidang media ketika mengadakan Lawatan Kerja Rasmi di Stesen Udara Maritim Subang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 11 APRIL 2019

SHAH ALAM – Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berhasrat untuk kembali dan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Osman Sapian sebagai Menteri Besar Johor sejak Isnin lalu.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu bagaimanapun berkata, beliau sedia membantu dan berkongsi pengalamannya dengan mana-mana Menteri Besar Johor baharu bagi memastikan pentadbiran negeri itu berjalan lancar dan maju.

“Saya sudah tua, yang datang itu suara daripada pihak UMNO, dia fikir dia ada hak dan kuasa untuk menamakan saya, saya tak begitu.

“Saya pernah jadi menteri besar, dan saya tak fikir saya wajar kembali semula tapi saya sedia membantu sebagai bekas menteri besar dan saya ADUN Bukit Gambir.

“Saya melihat penting pentadbiran negeri Johor diurus secara teratur, Johor maju ke depan dan memberikan banyak faedah kepada rakyat, jadi itulah harus diutamakan.

“Saya sebagai bekas menteri besar akan membantu sesiapa saja menteri besar yang dipilih oleh Sultan Johor untuk menentukan semuanya berjalan dengan baik,” katanya pada sidang media dalam lawatan kerjanya di Stesen Udara Maritim Subang, di sini, hari ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap ketika sesi sidang media ketika mengadakan Lawatan Kerja Rasmi di Stesen Udara Maritim Subang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 11 APRIL 2019

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad semalam yang memberi kata dua kepada Muhyiddin sama ada beliau kembali menjadi menteri besar atau bersedia menghadapi pilihan raya negeri.

Hasni berkata, beliau akan mencadangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kerana tiada seorang pun calon menteri besar yang layak daripada Pakatan Harapan (PH) ketika ini melainkan Muhyiddin.

Ketika ditanya ada cadangan supaya wakil rakyat daripada Parti Amanah Negara (Amanah) dicalonkan sebagai menteri besar, beliau bagaimanapun berkata, pihaknya sentiasa terbuka menerima pandangan.

“Kita sudah putuskan sejak PRU14 lepas, setiap negeri siapa yang memimpin kalau kita menang, yang paling besar untuk Johor ialah Bersatu, itu pastinya begitu.

“Tapi saya bersikap terbuka, kita mengamalkan sistem demokrasi di mana siapa saja boleh bersuara, mencadangkan, tak apa itu, nak cadangkan siapa, A atau B, itu tak apa.

“Tapi yang penting itu nanti di situ adalah Bersatu dan kita berharap bila kita kemukakan nama daripada parti, pihak Sultan akan terima dan sebagainya,” katanya.

Kata Muhyiddin, beliau enggan menjadikan parti komponen PH mana yang layak dilantik untuk mengisi jawatan menteri besar itu bagi mengelakkan perbalahan dalaman.

“Bagi saya tak apa laa nak cadang sesiapa pun, its okay, tak nak jadi satu perbalahan, saya fikir ini bukan satu krisis bagi saya, ataupun perbalahan intra-PH .

“Ini suara, pandangan dan cadangan saya fikir kita bersikap terbuka dalam soal ini,” katanya. – MalaysiaGazette