Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hadir pada Ceramah Grand Finale Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Dataran Metro Park Sendayan, Negeri Sembilan. foto NOOREEZA HASHIM, 12 APRIL 2019.

PRK RANTAU – Malam terakhir ceramah kempen PRK Rantau sebelum menutup tirai, para pengundi diingatkan supaya tidak termakan dengan dakyah pembangkang – kononnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) dikuasai DAP.

Presiden PH, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan mesej itu kepada lebih 1,000 orang yang hadir ke Ceramah Mega Frand Finale PH di Metropark, Bandar Seri Sendayan Seremban di sini.

Beliau menyeru pengundi di Rantau memberi peluang kepada calon PH, Dr. S. Streram untuk mewakili mereka di Negeri Sembilan.

“Jangan dengar cerita kononnya PH menang Melayu habis. Tolak dakyah itu. Perdana Menteri kita Melayulah, saya pun Melayu walaupun muka Cina, jangan risau.

“Kita semua jaga semua kaum, Anthony Loke jaga Cina sahaja, dia jaga Melayu, India , Kadazan dan Iban di Sabah dan Sarawak. Kalau dia jaga Cina sahaja saya akan protes,” katanya.

PH melengkapkan kempen PRK Rantau dengan ceramah mega yang mengumpul kesemua barisan kepimpinan tertinggi parti kerajaan.

Selain calon Streram, turut hadir Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Sebelum itu, hadirin turut dihiburkan dengan kehadiran penyanyi popular tempatan Siti Nordiana.

PRK Rantau diadakan selepas Mahkamah Khas Seremban mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding Datuk Seri Mohamad Hasan mewakili Barisan Nasional sebagai tidak sah dan terbatal pada November lalu.

Tindakan itu menyusul selepas Streram memfailkan petisyen di mahkamah sebagai mendesak membatalkan kemenangan bekas Menteri Besar itu selepas calon PH itu dihalang memasuki dewan untuk mengemukakan pencalonannya pada 28 April 2018.

Mohamad yang merujuk kes ke Mahkamah Rayuan Putrajaya sebelum rayuannya mengenepikan keputusan mahkamah Seremban diketepikan dan SPR diarahkan mengadakan pemilihan segera mengisi kekosongan kerusi DUN Rantau.- MalaysiaGazette