Datuk Mohd Razlan Rafii
Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd Razlan Rafii berucap pada Majlis Pelancaran Deklarasi Selangor di Dewan Serbaguna MBPJ, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 14 APRIL 2019

PETALING JAYA – Penghinaan rakyat secara terbuka terhadap Institusi Raja sejak mutakhir ini dipercayai berpunca daripada sikap ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) sendiri yang mempertikai bidang kuasa Raja-Raja Melayu secara terbuka.

Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, walaupun undang-undang tubuh negeri menyatakan dengan jelas bahawa pelantikan menteri besar dan Exco mesti mendaapt perkenan baginda, namun ia masih dipertikaikan hingga mengelirukan rakyat.

“Ada ahli Parlimen PKR mengatakan Sultan Johor tiada kuasa untuk mengarahkan rombakan Exco Johor. Sekiranya ia dihujah secara terbuka, ianya akan menjadi kekeliruan di mata rakyat.

“Ini akan membuka kepada satu dorongan kepada rakyat untuk menghina, mencaci sultan, itu yang terjadi baru-baru ini, tak pernah dalam sejarah Sultan Abdullah orang yang baik dan beradab tinggi jadi mangsa kepada karikatur yang menghina beliau.

“Perkara ini semua tidak terjadi sekiranya PH menjaga turut cara ahli-ahli Parlimen mereka. Ini sengaja dilakukan ahli Parlimen DAP dan sekutu mereka untuk membuakkan kemarahan rakyat

“DAP akan berterusan menghasut mereka ini dan mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Sultan-Sultan Melayu lain,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Deklarasi Selangor anjuran Gerakan Bangsa Nasional (GBN), di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau menyalahkan pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad yang tergesa-gesa menandatangani Statut Rom tanpa perkenan Majlis Raja-Raja kerana peguam negara sendiri tidak memahami masyarakat Melayu Islam.

“Hari ini peguam negara kita tidak pernah mendampingi masyarakat Melayu Islam dan ia lebih nampak jelas dengan tindakan apabila beliau menasihati Majlis Raja-Raja.

“Majlis Raja-Raja akan mendapat penerangan dan persepsi salah. Dalam kes Statut Rom, ia adalah satu salah tafsir, salah penjelasan dan nasihat daripada Peguam Negara kepada Majlis Raja-Raja.

“Sekiranya kita tandatangan Statut Rom ini, tidak akan ada perubahan Perlembagaan walhal Tun Abdul Hamid menafikan dan memang ada perubahan Perlembagaan sekiranya kita tandatangani Statut Rom ini,” katanya.

Katanya, tindakan Tommy Thomas di sebalik Statut Rom amat mencurigakan malah kesilapannya itu tidak dikenakan sebarang tindakan sedangkan ia menggugat dan hak istimewa Raja-Raja Melayu.

“Kita nak tanya Peguam Negara, apakah niat di sebalik salah nasihat kepada Majlis Raja-Raja dan tiada hukuman pun, ini masalah.

“Dr Mahathir sepatutnya hukum peguam negara ini, sekurang-kurang denda RM2,000. Ini satu hukuman pun tidak ada, satu teguran pun tidak ada,

Bila tiada hukuman, mereka akan terus melakukan kesilapan-kesilapan. Objektifnya untuk membawa agenda kesamarataan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette