Foto Instagram Shaheizy Sam

KUALA LUMPUR – Kehidupan pelakon Shaheizy Sam bertambah ceria apabila menimang cahaya mata kedua selepas isterinya, Syatilla Melvin selamat melahirkan bayi perempuan semalam.

Bintang Polis Evo itu berkata, keluarga kecilnya kini sudah bertambah dengan kehadiran bayi yang dilahirkan di sebuah pusat perubatan, di sini.
“Kini, kami tidak lagi bertiga. Alhamdulillah. Terima kasih kepada semua yang mendoakan,” katanya ringkas dalam satu perkongsian menerusi Instagram.

Sam, 37, memberitahu, kehadiran puterinya itu lebih bermakna kerana ia menjadi hadiah buat ibunya, Kathy Fauziah yang meraikan ulang tahun kelahiran, hari ini.

“Mommy dapat hadiah hari jadi yang tidak dijual. Mommy dan ‘baby girl’ berkongsi tarikh hari jadi yang sama. Selepas ini, kena beli dua hadiah. ‘Masak’ aku,” usik Sam dalam satu entri lain.

Sementara itu, Syatilla tidak ketinggalan berkongsi rasa syukur di atas kelahiran anak kedua mereka.

“Alhamdulillah, bayi perempuan kami sudah lahir. Sihat gebu anak perempuan saya. Tadi, sempat buat tutorial mekap dalam bilik pembedahan. Terima kasih suami kerana sentiasa di sisi,” katanya dalam satu perkongsian.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 8 Februari 2016 itu sebelum ini, dikurniakan anak lelaki, Syeriv Samheizy yang kini berusia dua tahun. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan