Dr. Mohammad Nizam Baharom
Dr. Mohammad Nizam Baharom

KUALA LUMPUR – Kaedah tender terbuka yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi kesan teruk kepada kontraktor Bumiputera.

Pengerusi Biro Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Dr. Mohammad Nizam Baharom berkata, kaedah itu secara tidak langsung menutup bantuan kerajaan secara senyap kepada Bumiputera.

“Ia menjadi salah satu mimpi ngeri di kalangan kontraktor bumiputera yang mana masih menapak mencari peluang di bumi Malaysia.

“Mereka terpaksa bersaing dengan kontraktor bukan Bumiputera yang bukan calang-calang kontraktor dalam perniagaan kontrak pembinaan dalam negara,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette semalam.

Kata Dr. Mohammad Nizam, hal ini berlaku disebabkan tindakan kerajaan PH melantik menteri dari DAP menerajui Kementerian Kewangan, yang menggunakan alasan kaedah itu untuk memberi kesamarataan kepada rakyat Malaysia.

Jelas beliau, tindakan itu jelas mengecewakan kontraktor Bumiputera kerana memperlihatkan PH sebuah kerajaan yang tidak mengambil peduli hak rakyat.

“Ini satu tindakan yang mengecewakan oleh pihak kerajaan yang tidak mengambil peduli hak rakyat yang mana rata-rata masih berada di bawah kelas B40.

“PH perlu ingat jika ingin menaikkan taraf Bumiputera, kerajaan harus melihat kepada peningkatan ekonominya, dan salah satu cabang ialah dengan membuka peluang perniagaan kepada golongan ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, berdasarkan rekod, kedudukan ekonomi Bumiputera masih lagi jauh kebelakang terutama golongan usahawan berkenaan yang menjalankan perniagaan kontraktor.

Katanya, kerajaan perlu bertanggungjawab menyediakan peluang perniagaan kepada kontraktor Bumiputera ini kerana mereka adalah pemangkin ekonomi negara.

Beliau turut mengulangi perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia seperti Perkara 153 (6) iaitu hak keistimewaan Bumiputera ada Bumiputera mengendalikan apa-apa pertukangan dengan menyediakan permit kepada mereka dan dipertanggungjawabkan memastikan perizaban apa-apa permit kepada orang Melayu.

“Ini bermakna jika golongan usawahan kontraktor Bumiputera mempunyak hak ke atas permit dan lesen Bumiputera dan juga mendapat hak di mana-mana projek yang ditawarkan oleh pihak kerajaan.

“Oleh itu, janganlah menidakkan hak keistimewaan dengan dasar hak kesamarataan ini kerana kaum Bumiputera masih perlu dibantu dan hak ini sudah termaktub dan tidak perlu menafikan lagi dengan memainkan isu kononnya kami digolongkan idalam golongan pemalas untuk mencari projek dengan mudah,” katanya.

Katanya, kontraktor adalah golongan yang banyak menyumbang kepada sektor ekonomi kerajaan pada masa ini dengan lebih 60 peratus daripada 40,000 kontraktor Bumiputera kelas G1 hingga G7 tidak aktif sebab kekurangan projek.

Dalam keadaan ekonomi sekarang kontraktor yang paling terjejas ialah kelas G1 (kelas F) dianggarkan lebih 24,000 kontraktor mengalami masalah masalah dari segi mendapatkan projek.

Akibatnya kata beliau, mereka ini mengalami masalah aliran tunai untuk meneruskan perniagaan masing-masing.

“Oleh itu, kami dari Biro Ekonomi Perkasa Malaysia meminta kerajaan mengambil tindakan segera bagi menangani isu ini dan janganlah mengambil memeluk tubuh.

“Dari segi daya saing antara Kontraktor Tempatan Bumiputera adalah lebih banyak pengalaman dan kerajaan dahulu sudah melahirkan pakar dalam bidang pembinaan yang mereka ceburi sekian lama.

“Tindakan membuka kepada kontraktor luar adalah menampakkan ada double standard dan ini akan membuat kontraktor tempatan berkubur akibat pilih bulu atas polisi kesamarataan bawah kerajaan baharu,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Minda subsidi yang tidak berkesudahan… sedih tgk anak bangsa perangai camni.
    Kalau mulut asyik disuap, bila pulak tgn sendiri nak belajar menyuap?

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here