Ahmad Safuan Ujar
Ahmad Safuan Ujar

KUALA LUMPUR – Dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow kononnya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah meluluskan projek Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) ternyata satu kegelojohan.

Malah, menurut Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang (DPPP), Ahmad Safuan Ujar, lebih memalukan apabila kenyataannya itu disangkal Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

Menurut Khalid, ia belum diluluskan Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) dan hanya masih dalam pertimbangan.

Katanya, sikap itu hanya menzahirkan lagi wajah sebenar DAP yang begitu terdesak dan tergesa-gesa mahukan PSR sebagai sumber pendanaan utama Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Walhal, ujar beliau, pengumumannya itu menandakan PTMP yang bernafsu DAP dan beragenda keuntungan pemaju ghairah mahu mendapat ‘lesen besar’ tersebut.

“Mengikuti serta menghimpun segala pandangan, kami dapati projek mega ini telah tersasar dari tujuan asalnya.

“Objektif PTMP adalah menyelesaikan masalah trafik dan pengurusan pengangkutan menyeluruh. Ia akan dibangunkan Konsultan Halcrow yang berkepakaran dalam bidang pengurusan pengangkutan.

“Tetapi kini jauh melencong ke arah memenuhi motif dan agenda politik serta kepentingan DAP, selain menimbulkan pelbagai kesan negative,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau berkata, secara prinsipnya, DPPP tidak menghalang pembangunan, tetapi Islam mengajar mereka bahawa pembangunan mesti seimbang dan menghadirkan manfaat kesejahteraan, bukan risiko kerosakan.

Begitu juga, kata Ahmad Safuan, cadangan baharu pembinaan Laluan Ketiga Terowong Bawah Laut yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa hanya ‘wujud’ selepas campur tangan Konsortium Zenith.

“Bahkan kesannya, kos cadangan asal tidak lebih RM10 bilion oleh Halcrow, meningkat kepada RM27 bilion melibatkan Zenith.

“Kosnya terus melambung tinggi menjadi RM46 bilion apabila Konsortium SRS yang berjaya terpilih secara ‘Request for Proposal’ turut terlibat sebagai Rakan Pelaksana Projek (PDP).

“Natijahnya, Projek Lebuh Raya Pan Island Link 1 (PIL 1) yang akan dibangunkan membawa bersama banyak risiko negatif terutama kerosakan dan bencana alam,” katanya.

Beliau berkata, antara perubahan landskap ketara bakal terjadi adalah pemusnahan bukit bukau di daratan pulau dan khazanah alam perairan seluas kira-kira 4,500 ekar.

Ini tidak termasuk pakejnya ke atas sungai dan persisiran pantai serta pencemaran.

“Tentunya ia akan menjejaskan kehidupan penduduk akibat banjir, hakisan, ribut dan sebagainya termasuk hilang mata pencarian.

“Setidak-tidaknya empat malapetaka dijangka berlaku dari semua projek ini iaitu kerosakan alam sekitar dan risiko bencana, pembangunan tidak seimbang, mengabaikan rakyat dan keuntungan hanya di pihak pemaju serta perubahan demografi drastik yang menjejaskan keharmonian rakyat berbilang kaum,” tegasnya.

Ujar beliau, malapetaka seterusnya ialah integriti meragukan dan kelemahan urus tadbir kerajaan Pulau Pinang.

Katanya, sejajar dengan empat perkara itu, DPPP akan menggerakkan jentera penerangan supaya rakyat tidak terpedaya dengan manipulasi DAP serta segala gugatan bakal dihadapkan mereka terhadap negeri dan rakyat Pulau Pinang. – MalaysiaGazette