KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mempersoalkan apa motif Kementerian Industri Utama menganjurkan program dalam bahasa Mandarin.

Serentak itu, Ketua Penerangannya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif menggesa menterinya, Teresa Kok memberi penjelasan kenapa program Pensijilan Skim Nasional anjuran Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) pada Sabtu depan tidak diadakan dalam bahasa Melayu atau Bahasa Kebangsaan seperti kebiasaan.

“Perkasa terkejut dan tidak berpuas hati penganjuran program bersama Menteri Teresa Kok esok memfokuskan penyertaannya kepada pengamal bahasa Mandarin sahaja.

“Apakah penganjur lupa atau celaru program yang mereka akan laksanakan itu bertempat di Malaysia, bukan di Negara China?” soal beliau menerusi kenyataan kepada media hari ini.

Nasrul Ali Hasan Abdul Latif
 Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

Dalam jemputan yang diedarkan oleh MPOCC itu tertera jemputan Program MSPO bersama YB Menteri – Kementerian Industri Utama di Setiawan dan Teluk Intan, Perak. Mandarin Language.

Majlis itu akan diadakan pada 27 April.

Kata Nasrul Ali, tindakan penganjur itu seperti ada cubaan untuk mengubah norma bahasa yang telah diguna pakai kerajaan selama ini.

Jelas beliau, tindakan penganjur itu bukan sahaja mencabar mereka yang mendukung bahasa rasmi Persekutuan, tetapi cubaan merosakkan usaha menyatupadukan rakyat negara ini dengan penggunaan satu bahasa secara bersama.

“Ini juga dilihat mencalarkan dan tidak menunjukkan sifat identiti negara, yang mana penganjur seharusnya berbangga mengetengahkan budaya dan bahasa ibunda ke persada antarabangsa.

“Pada pendapat peribadi saya, kini kita sudah berada di era milenia, jika program tersebut dikelola atau dikendalikan oleh penceramah antarabangsa sekalipun, kenapa tidak program itu dibuat dalam bahasa Inggeris (bahasa universal) sepertimana biasa dilakukan kerajaan sebelum ini.

“Tindakan ini akan terus meniup api kemarahan kepada segmen majoriti di Malaysia yang sudah sedia ada rasa tercabar dengan pelbagai isu perkauman dan penghinaan agama oleh sesetengah kelompok,” tegasnya.

Oleh itu, katanya, Perkasa menggesa penganjur jika tiada sebab munasabah bagi menggunakan bahasa Mandarin dalam program tersebut menarik balik kenyataan dalam surat jemputannya.

Kata beliau, Perkasa tidak berniat untuk menghalang penggunaan mana-mana bahasa lain di Malaysia kerana ia adalah hak peribadi.

“Namun program seperti ini yang melibatkan Kerajaan Persekutuan dan bidang usaha tani yang diceburi kaum majoriti perlu menjadi contoh dalam memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan negara,” katanya – MalaysiaGazette