Dr Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Kuota bagi pengambilan pelajar mengikuti program matrikulasi di seluruh negara dikekalkan pada 90 peratus untuk bumiputera dan 10 peratus bukan bumiputera.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan media hari ini berkata, perkara tersebut diputuskan oleh Kabinet.

Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, isu itu telah dibangkitkan di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Usaha ini dilaksanakan bagi memastikan pelajar cemerlang terus mendapat peluang terbaik melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

“Susulan daripada itu Jemaah Menteri bersetuju untuk menambah bilangan pelajar matrikulasi kepada 40,000 pelajar berbanding 25,000 sebelum ini,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) melihat wujud keperluan utama untuk menambah bilangan pelajar dalam bidang sains dan kapasiti yang ada pada program matrikulasi ketika ini wajar dimaksimumkan.

Oleh demikian katanya, keputusan berkenaan juga dilihat sebagai kaedah terbaik dalam memastikan program matrikulasi memberikan peluang pendidikan untuk semua kaum.

“Selain itu, kabinet juga memutuskan kuota 90 peratus untuk bumiputera dan 10 peratus untuk bukan bumiputera terus dikekalkan.

“Ia selaras dengan visi asal program berkenaan bagi menggalakkan pelajar bumiputera melanjutkan pelajaran dalam bidang sains.

“Berkaitan kos berikutan penambahan pelajar, KPM akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dalam masa terdekat ini bagi mendapatkan penyelesaian terbaik.

“Jemaah Menteri juga telah meminta KPM untuk menilai pendekatan strategik yang bersesuaian termasuk menggunakan premis dan kepakaran di Institut Pendidikan Guru bagi menampung pertambahan berkenaan,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: