Tengku Asmawi Tuan Umar
Tengku Asmawi Tuan Umar

KUALA LUMPUR – Jangan bangga bila buat kemungkaran.

Itu teguran Penasihat Agama dan Media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Tuan Asmawi Tuan Umar.

“Andainya kita sudah jemu sekali pun untuk menutup aurat dengan bertudung atau berasa keterpaksaan dalam melakukannya, makanya kita tidaklah perlu ada kewajaran untuk dengan bangganya menghebahkan kepada khalayak akan tindakan kita itu.

“Ini kerana mencetus polemik antara pro dan kontra yang bakal meledak pertikaman lidah dan fikrah yang maha dahsyat.

“Dengan kata lain,kita tidak perlu berbangga dengan kemungkaran yang kita juarai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Walaupun tidak menyebut nama kenyataan itu dipercayai merujuk kepada tindakan pelakon, Fathia Latif yang ‘menanggalkan’ tudung atas alasan ia bukan dirinya yang sebenar.

Tuan Asmawi juga menambah, kehidupan beragama itu perlu didasari keikhlasan yang jitu kepada tuhan bukan dengan rasa keterpaksaan yang membuak di dada.

“Setidak-tidaknya jika memakai tudung itu sebagai langkah menutup aurat atau memakainya dipaksikan ia sebagai sebahagian daripada busana maka kelihatan disitu masih ada benih dan baka penghormatan terhadap suruhan beragama.

“Ingatlah walau pun dalam keadaan kita mengingkari perintah agama pun masih dikurnia rezeki yang tidak putus-putus, maka kita menangkah dalam erti kata untuk diri kita? Apakah ada kerugian kepada Allah SWT? Tentu sekali tidak, Allah SWT menguji hamba-Nya bukan sahaja dengan kesusahan malah dengan kesenangan jua,” ujarnya.- MalaysiaGazette