Mohd Razlan Rafii
Pengerusi Gabungan Gerakan Perpaduan Kebangsaan (GerakPadu) Datuk Mohd Razlan Rafii bercakap kepada pemberita pada sidang media di Ampang, Selangor. foto NIZAM ZAIN

AMPANG – Gabungan Gerakan Perpaduan Kebangsaan (GerakPadu) dijangka mengadakan Perhimpunan Raksasa membantah ratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Dataran Merdeka pada 4 Mei ini.

Pengerusinya, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, perhimpunan aman itu tetap diteruskan sekiranya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mengemukakan bukti penarikan Malaysia daripada konvensyen itu.

“Saya difahamkan setakat ini belum ada bukti iaitu surat yang telah dihantar ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyatakan Malaysia sudah menarik balik Statut Rom,” katanya pada sidang media hari ini.

Mohd Razlan mendakwa, tindakan kerajaan yang menandatangani Statut Rom sebelum ini dipercayai telah mengguris perasaan Majlis Raja-Raja.

“Apa yang kami perjuangkan adalah untuk mempertahankan kedaulatan Raja supaya tiada pihak yang mahu mewujudkan perbalahan antara kerajaan dan Majlis Raja-Raja,” katanya.

Beliau juga menegaskan, banyak isu yang timbul sejak kebelakangan ini telah menimbulkan kemarahan rakyat.

“Ia juga boleh menimbulkan kesangsian dan salah faham akibat permainan pihak tertentu,” katanya.

Pada 5 April lalu, Kabinet memutuskan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom kerana kekeliruan yang timbul dalam masyarakat serta disebabkan cubaan pihak tertentu untuk mengheret institusi Raja menentang kerajaan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan, ada pihak menjadikan keputusan Malaysia menerima Statut Rom sebagai isu politik yang memberi gambaran buruk terhadap imej kerajaan hari ini.

Menurutnya, Malaysia boleh menarik balik Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC pada Jun ini selepas ia ditandatangani pada 4 Mac lalu dan diserahkan kepada Setiausaha Agung PBB, pada hari sama.

ICC ditubuhkan pada 2002 adalah mahkamah jenayah antarabangsa pertama berasaskan perjanjian, bertujuan menamatkan kekebalan terhadap pelaku jenayah paling serius yang membabitkan pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang serta jenayah kemanusiaan dan pencerobohan.

Perdana Menteri turut menegaskan, Statut Rom hanya memberi kesan kepada negara peserta yang melakukan diskriminasi atau pembersihan etnik di negara mereka. – MalaysiaGazette