Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – “Dahulu kita ingat, pada masa dahulu ada TMJ sudah ditukar, beri kepada adik dia. Jadi TMJ boleh tukar.

“Perdana menteri cuma rakyat sahaja yang boleh tukar, bukan dia. Dia ingat dia orang besar, dia bukan orang besar, dia orang kecil,” kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata demikian merujuk kepada kenyataan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam video yang tular di media sosial baru-baru ini.

Mahathir juga berkata, TMJ bukan “orang besar” untuk menukarnya, katanya dalam satu sidang media di Beijing sempena lawatan rasmi ke China yang disiarkan secara langsung hari ini.

“Kalau dia boleh undi, undilah bagi saya jatuh,” kata Mahathir lagi.

Terdahulu, tular rakaman video memaparkan TMJ meninggalkan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor selepas perlawanan Kejuaraan Liga AFC.

Ketika kenderaan SUV berwarna hitam yang membawa Tunku Ismail lalu, peminat JDT melaungkan “hidup TMJ” tetapi ada seorang penyokong pula berkata “tukar Mora”, yang merujuk kepada jurulatih JDT, Benjamin Mora.

Susulan itu, kenderaan SUV membawa TMJ tiba-tiba berhenti dan beliau didengar sebagai berkata, “daripada tukar Mora, baik tukar perdana menteri”.- MalaysiaGazette