Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meluangkan masa berswafoto dengan sebahagian tetamu pada Jamuan Makan Malam Tautan Muhibbah Parlimen Segambut 2019 di Laman Pengantin Zarlith, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Demi memastikan rakyat Malaysia sanggup melakukan pelbagai tugas bagi menjana pendapatan, kerajaan  mempertimbangkan mengubah waktu bekerja dari siang ke malam untuk sektor tertentu.

Kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kemajuan teknologi boleh digunakan dalam sektor tertentu bagi memudahkan suatu pekerjaan  seperti menanam padi dan pembinaan rumah, sehingga ia tidak lagi perlu dilakukan pada waktu panas dan terik.

“Kerajaan ini memikir kalau kita dapati di luar pada siang hari panas terik dan tidak selesa bekerja, kita sedang memikir sama ada kita boleh alih masa bekerja pada siang hari di waktu panas tetapi dilakukan di malam hari.

“Memanglah gelap, sekarang orang kaya kita lihat main golf waktu malam, kita akan buat orang tanam padi waktu malam, pasang lampu cerah” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Tautan Muhibbah 2019 sebentar tadi.

Dr Mahathir menyuarakan cadangannya itu kerana menyedari majoriti rakyat negara ini enggan melakukan kerja yang dikategorikan sebagai kotor, berbahaya dan sukar (3D).

Katanya, walaupun apa yang disuarakannya itu sukar diterima namun  demi mengurangkan kebanjiran penggunaan tenaga buruh asing, cadangan tersebut tidak mustahil dilaksanakan walaupun mengambil masa.

MGF02052019_MAKAN MALAM TAUTAN MUHIBBAH 05
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Jamuan Makan Malam Tautan Muhibbah Parlimen Segambut 2019 di Laman Pengantin Zarlith, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 MEI 2019

“Kerajaan sekarang tidak mampu beri wang (percuma) sebaliknya ingin adakan lebih banyak pekerjaan supaya rakyat dapat biayai diri mereka berasaskan usaha mereka, yang kita dapati tugas ini amat berat dan kita serah tugas berat kotor kepada orang asing khususnya pendatang.

“Mereka akan dapat segala upah dan banyak wang kita dihantar balik ke negara mereka. RM60 bilion duit kita dihantar ke negara asal mereka . Sudah tentu ini merugikan kita memiskinkan kita.

“Sebab itu kerajaan sedang berusaha wijudkan kerja dan dilakukan rakyat kita supaya pendapatan tidak mengalir ke luar negara

“Mungkin ramai sukar terima lama kelamaan kita akan biasakan diri kita dengan cara yang semacam ini,” katanya. – MalaysiaGazette