Abdul Rashid Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) yang bakal menyerahkan laporan interim kepada kerajaan selewat-lewatnya hujung tahun ini telah menggariskan 16 komponen penambahbaik untuk diguna pakai kelak.

Antara yang menarik perhatian penambaikan itu termasuk ketetapan untuk semua parti politik mengisytiharkan dari mana sumber dana politik mereka.

Pengerusi jawatankuasa itu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, objektif utama jawatankuasa ini adalah memastikan pelbagai tambah baik, selaras dengan dunia maju dalam memiliki sebuah sistem undang-undang pilihan raya jauh lebih efisyen serta telus berbanding sebelum ini.

“Parti politik perlu isytihar duit mereka dan kita perlu tahu dari mana datangnya sumber itu, ia perlu direkod dan diaudit. Yang mana nak beri derma kepada parti politik perlu dilakukan secara terbuka.

“Duit banyak pun tak apa tetapi kita kena tahu sumbernya dan ini sebahagian daripada cadangan penambahbaikan yang kita akan lakukan. Ini memang sangat penting dan kita akan menambah baik laporan yang pernah dibuat oleh Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik berhubung keperluan pengisytiharan dana itu,” katanya.

MGF0405019_LIBAT URUS ERC 74
Pengerusi ERC, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bercakap kepada media selepas Program Libat Urus Bersama Pengamal Media mengenai Reformasi Sistem & Undang-Undang Pilihan Raya di Wisma Bernama, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 04 MEI 2019.

Beliau berkata demikian selepas sesi setengah hari bersama media pelbagai latarbelakang dalam program libat urus ERC di Wisma Bernama sebentar tadi.

Tambah Abdul Rashid,  penambahbaikan itu turut merangkumi beberapa perkara lain seperti sistem pilihan raya, peranan Suruhanjaya Pilihan Raya, persempadanan semula, daftar pemilih, liputan media yang adil kepada calon dan keperluan kerajaan sementara sepanjang proses pilihan raya berlangsung.

“Insya Allah, kita akan serahkan laporan interim penghujung tahun untuk kerajaan menelitinya sebelum laporan akhir siap pertengahan tahun depan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Rashid juga mendedahkan pihaknya (ERC) dalam proses memperkasakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Sebenarnya kita mahu SPR menjadi satu badan yang bukan sahaja bebas tetapi kuat sehingga tiada sesiapa termasuk kerajaan boleh sentuh,” tegasnya.

Pada masa ini, ERC giat mengadakan sesi libat urus bersama parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat seluruh negara bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai penambahbaikan itu.

ERC ditubuhkan oleh kerajaan pada 28 Ogos 2018 juga dianggotai 20 ahli pelbagai latar belakang dan diberi masa selama dua tahun untuk melakukan kajian penambahbaikan pilihan raya.

Terdahulu, ketika mengadakan perbincangan dengan lebih 20 pengamal media, Abdul Rashid sempat berdialog bagi mendengar pendapat, luahan rasa serta cadangan penambaikan bukan sahaja berkait dengan kebebasan media, sebaliknya merangkumi semua aspek. –MalaysiaGazette