Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan tiada rombakan dibuat walaupun memberikan markah 50 peratus sahaja kepada prestasi barisan Kabinetnya.

“Saya beri 5 per 10 atau 50 peratus sahaja.

“Saya seorang yang konservatif kerana saya telah lama berada di dalam kerajaan dan tahu bagaimana mereka bekerja.

“Tetapi mereka (ahli-ahli kabinet) ini masih baharu dan tidak tahu bagaimana kerajaan beroperasi tambahan pula mereka sangat takut dituduh melakukan kesalahan.

“Ini menyebabkan proses untuk membuat keputusan untuk kerajaan menjadi sukar,” katanya semasa temubual khas sempena setahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan di sini hari ini.

Sambil menegaskan barisan Kabinetnya terdiri daripada individu – individu yang cepat belajar, Dr. Mahathir berkata, selaku Perdana Menteri beliau bertanggungjawab untuk mengajar dan membimbing mereka.

“Kadang kala mereka terpaksa berjumpa saya dan saya cuba untuk mengajar dan membimbing supaya mereka boleh meningkatkan prestasi masing-masing.

“Jadi saya tidak nampak mengapa saya perlu menstruktur semula Kabinet kerana mereka pastinya boleh menunjukkan prestasi yang lebih baik,” tambahnya lagi.

Khabar angin mengenai rombakan Kabinet mula bertiup semula selepas terdapat menteri yang dikatakan tidak cekap menjalankan tugas masing-masing dan sering mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi. -MalaysiaGazette