Azih Muda

KUALA LUMPUR – Pekerja-pekerja lantikan politik didakwa telah mengganggu dan mencampuri tugas-tugas penjawat awam.

Pendedahan itu dibuat oleh Kongres Persatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Menyifatkan perkara ini tidak sepatutnya berlaku, Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda khuatir perbuatan itu akan menjejaskan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan untuk rakyat.

Pada akhirnya nanti, penjawat awam akan dipersalahkan kerana gagal menjalankan tugas sebagai perantara kerajaan dengan rakyat.

“Sehingga hari ini kita terima aduan bahawa mereka yang dilantik atas kapasiti politk mencampuri urusan penjawat awam.

“Kalau ini berlaku, maka proses kerajaan baharu untuk capai sasaran akan menjadi lambat. Kalau ini berlaku jangan sampai penjawat awam dipersalahkan,” katanya kepada pada sidang media khas sempena setahun pentadbiran Pakatan Harapan.

Azih berharap perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi.

Dalam masa sama, beliau yakin penjawat awam yang terpaksa melalui gangguan ini tidak berdiam diri.

“CUEPACS berharap mereka yang berada dalam saf politik tidak menganggu tugas penjawat awam, mengggagalkan usaha kerajaan kerana kita bimbang dasar tidak sampai ke bawah.

“Yakinlah bahawa penjawat awam ini memegang tanggungjawab dalam melaksanaan tugas.

Dalam masa yang sama, beliau mengucapkan tahniah kepada kerajaan Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak yang mengumumkan pemberian bonus raya kepada kakitangan awam mereka.

CUEPACS juga, katanya berbesar hati jika Kerajaan Persekutuan turut mengumumkan berita gembira seumpama itu dalam masa terdekat ini. – MalaysiaGazette