Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyampaikan amanat pada Majlis Berbuka Puasa Majlis Perundingan Melayu (MPM) di Wisma MPM, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 15 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah bersetuju dengan gabungan parti itu bersama Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Namun Ahli Parlimen Gua Musang itu berpendapat adalah lebih baik gabungan itu dapat merujuk kepada ahli-ahli dalam perhimpunan agung parti.

Jelas beliau, ia bagi mendapat pengesahan supaya tidak timbul sebarang masalah menjelang PRU15.

“Soal kedudukan parti masing-masing dalam pilihan raya juga kena kita selesaikan supaya tidak berbangkit sesuatu yang boleh memecahkan kita.

“Kita juga kena ambil kira parti bukan Melayu yang selama ini jadi rakan setia kita.

“Jadi kalau kita nak bergabung kita kena juga beri pandangan kepada rakan-rakan bukan melayu kerana kita tidak mahu bercerai dengan mereka lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis berbuka puasa Majlis Perundingan Melayu di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai gabungan UMNO dan Pas pada PRU15 yang diumumkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Tengku Razaleigh menambah, agihan kerusi juga perlu bermula daripada sekarang sekiranya PRU15 berlaku mengejut.

Namun beliau berkata, bentuk gabungan itu harus merujuk balik kepada cara Barisan Nasional (BN) diwujudkan dahulu.

“Dia (Pas) pun jadi anggota dan pengasas BN dulu.

“Jadi kalau kita rujuk situ dan seterusnya kita boleh bincang apa yang kita boleh bincang.

“Saya rasa itu cara terbaik kalau hendak gabung dan kena rujuk cara kita bersatu di bawah BN.

“Saya rasa kalau kita sekadar gabung untuk PRU15 tidak ada bermakna. Apa kata orang Melayu dan Islam yang ramai? katanya. – MalaysiaGazette