Tony Pua

KUALA LUMPUR – Penerbitan bon kerajaan pada setiap bulan adalah sebahagian daripada operasi biasa dan telus untuk menampung defisit fiskal perbelanjaan kerajaan.

Setiausaha Politik kepada Lim Guan Eng berkata, takkanlah perkara itu tidak diketahui oleh Datuk Seri Najib Razak yang pernah memegang jawatan Menteri Kewangan lebih daripada satu dekad.

Perkara itu tidak menghairankan memandangkan majalah FinanceAsia pernah menggelarkan Najib sebagai Menteri Kewangan yang paling teruk di rantau Asia pada tahun 2016

Tony Pua berkata, Menteri Kewangan telah membentangkan Belanjawan 2019 pada kadar defisit 3.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding kadar yang lebih tinggi 3.7 peratus pada tahun lalu.

Menurutnya, penerbitan bon dan sukuk ini adalah untuk menampung defisit fiskal yang wujud setiap tahun. Penerbitan ini adalah teratur dan berjadual dan bukannya secara tersembunyi seperti apa yang diandaikan dalam kenyataan Najib.

“Perbezaan antara kerajaan Pakatan Harapan dengan Barisan Nasional ialah kami sebagai kerajaan Malaysia tidak lagi membuat pinjaman secara langsung atau tidak langsung secara tersembunyi, atau menyebabkan kerajaan Malaysia mengalami hutang terlampau besar dengan kontrak-kontrak yang bernilai terlampau tinggi.

“Misalnya, Dato’ Seri Najib Razak telah memberikan surat sokong yang bersifat jaminan secara “curi-curi”, tanpa sebarang kelulusan Jemaah Menteri untuk membolehkan 1MDB menjana bon USD3 bilion melalui Goldman Sachs pada tahun 2013 dan USD975 juta melalui Deutsche Bank pada tahun 2014.

“Kedua-dua pinjaman ini sememangnya telah meningkatkan jumlah hutang dan kerugian kewangan kerajaan.

“Tambahan lagi, projek-projek infrastruktur terbesar negara telah ditawarkan dengan harga yang terlampau tinggi secara rundingan terus dan menyebabkan tanggungan hutang kerajaan meningkat secara mendadak,” dakwa Pua lagi.

Beliau menjawab sindiran Najib yang mendakwa hutang negara meningkat lagi pada bulan Mei.

Sebaliknya, kerajaan Pakatan Harapan telah berjaya merunding semula kontrak-kontrak ini dengan mencapai penjimatan berpuluh-puluh bilion ringgit, yang akan sama sekali mengurangkan beban hutang negara pada masa depan.

Misalnya, untuk projek LRT3, kerajaan dapat berjimat sebanyak RM15.0 bilion, untuk projek MRT2 pula sebanyak RM8.8 bilion dan seterusnya untuk ECRL sebanyak RM21.7 bilion.

“Kami yakin, dengan pentadbiran yang jujur dan berhemah, jumlah penerbitan bon dan sukuk kerajaan akan berkurangan secara beransur-ansur apabila kadar defisit fiskal diturunkan daripada 3.7 peratus bagi tahun 2018 kepada kurang daripada 2.8 peratus pada tahun 2021,” katanya.

Semalam, Najib berkata, hutang rasmi negara sudah mencecah RM781.4 bilion selepas Menteri Kewangan membuat pinjaman sebanyak RM4 bilion lagi kelmarin.

Menurutnya, setakat pertengahan bulan Mei, kerajaan PH sudah pinjam RM58 bilion (RM51 bilion sukuk kerajaan dan RM7 bilion bon Samurai) dan bayar balik RM17.7 bilion.

“Pinjam lagi RM18.6 bilion, kita cecah hutang RM800 bilion dengan rasminya,” katanya sambil membandingkan hutang negara sebanyak RM686 bilion pada akhir 2017 semasa di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.  – MalaysiaGazette