Dr. Mujahid Yusof
Dr. Mujahid Yusof

KUALA LUMPUR – ‘Kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee berhubung isu kuota pelajar matrikulasi hanyalah mempertahankan keputusan yang telah diputuskan Kabinet’.

Demikian menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang memberikan maklum balasnya hari ini.

Menurut beliau, keputusan untuk mengekalkan kuota tersebut juga bersesuaian dengan visi asal program matrikulasi diadakan iaitu bagi menggalakkan pelajar bumiputera melanjutkan pelajaran dalam bidang sains.

“Saya berharap agar semua pihak berhenti untuk mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan isu kuota pelajar di kolej matrikulasi ini agar menghormati keputusan yang telah ditetapkan Kabinet,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Putrajaya sebelum ini berkata, kuota pengambilan pelajar ke program kolej matrikulasi dikekalkan iaitu pada kadar 90 peratus untuk bumiputera dan 10 peratus kepada bukan bumiputera.

Malah, untuk makluman, Kabinet juga bersetuju dengan penambahan bilangan pelajar ini, keutamaan akan diberi kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan B40 dan ia juga melibatkan pelajar bukan bumiputera.

Khamis lalu, Maszlee dilaporkan berkata, pihak yang menuntut kelonggaran bagi kuota kaum matrikulasi, juga perlu membangkitkan isu kelayakan mendapat pekerjaan yang tidak adil dan didominasi kumpulan tertentu.

“Kalau kita nak ubah (matrikulasi), kalau kita kata Malaysia baru maka tak perlu kuota dan sebagainya, sebegitu juga kita kena pastikan peluang pekerjaan kepada Bumiputera tak dinafikan semata-matanya kerana mereka tak boleh (berbahasa) Mandarin,” katanya.

Kenyataan Maszlee itu mengundang kritikan beberapa pihak, antaranya Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker; Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy. – MalaysiaGazette