Dr. Maszlee Malik
Dr. Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa semua pihak bersikap rasional dan berlapang dada dalam menekuni polemik berkaitan kuota 90:10 penempatan pelajar di Pusat Matrikulasi.

Ia menyokong langkah Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mengekalkan agihan kuota 90 peratus Bumiputera dan 10 peratus bukan Bumiputera kerana sistem ini adil dan memenuhi keperluan semasa dan bukan dibuat berdasarkan keistimewaan kepada mana-mana pihak.

Setiausaha Agung PKPIM, Ahmad Fahmi Adzha Mohd Nasarudin berkata, pengekalan itu selaras dengan objektif Program Matrikulasi KPM yang bertujuan memastikan pembangunan potensi pelajar Bumiputera dapat dilakukan melalui pendidikan yang berkualiti untuk melayakkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di dalam dan di luar negara dalam bidang sains, teknologi dan profesional.

“PKPIM menyambut baik langkah KPM meningkatkan pengambilan pelajar daripada 25,000 kepada 40,000. Peningkatan ini dengan erti kata lain membuka lebih peluang kepada pelajar bukan bumiputera yang layak untuk memasuki program matrikulasi seluruh negara.

“PKPIM juga berpandangan tidak timbul isu diskriminasi dalam menanggapi perkara ini. Isu ini harus dilihat secara holistik berdasarkan pemilihan pelajar untuk memasuki Pusat Matrikulasi dibuat secara merit berdasarkan pencapaian akademik dalam peperiksaan SPM,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sambil memetik pandangan Pakar Ekonomi, Dr Muhammad Abdul Khalid dalam bukunya The Colour of Inequality bahawa pecahan etnik bagi yang berpendidikan tinggi di IPT terdiri daripada 72,387 pelajar bumiputera & 175,426 bukan Bumiputera.

Bagi pengajian di luar negara, terdapat seramai 5,800 pelajar Bumiputera dan 112,000 pelajar bukan bumiputera.

Kadar kemasukan ke universiti awam pula adalah terdiri daripada sebanyak 62.6 peratus Bumiputera, 32.2 peratus Cina dan 5.2 peratus India, mengesahkan bahawasanya komposisi pelajar bukan Bumiputera di universiti awam mengatasi komposisi pelajar Bumiputera.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM juga bersetuju wujudnya diskriminasi kepada Bumiputera dalam pekerjaan terutama dalam sektor swasta. Ini berdasarkan satu kajian akademik yang dijalankan Dr Hwon-Aun Lee dan Dr Muhammed Abdul Khalid pada 2015.

Sehubungan itu, PKPIM juga menyeru semua pihak lebih cermat dan tidak melatah dalam mengeluarkan apa jua kenyataan dan jangan cuba mengaitkan isu ini dengan isu perkauman.

Ini bagi mengelakkan sebarang salah faham dan kekeliruan timbul dalam masyarakat berbilang kaum dalam negara ini, katanya. – MalaysiaGazette