Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki bercakap kepada media selepas Majlis Penutup Kursus “Anti-Corruption Training” untuk ONACC Thailand di Akademi Pencegah Rasuah Malaysia (MACA), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan tetap akan bertindak dan menyiasat sesiapa sahaja tidak kira latarbelakang dan ‘kuasa’ berhubung isu pertukaran tanah Kementerian Pertahanan atau ‘land swap’

Ini termasuk memanggil bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi dan juga mantan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung siasatan skandal yang  melibatkan tanah-tanah Kementerian Pertahanan dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya akan menyiasat semua pihak tidak kira siapa termasuk memanggil semua bagi membantu siasatan selain daripada mengambil kira setiap dakwaan semua pihak.

Katanya, SPRM sudah memulakan siasatan dan kini dalam proses semakan laporan audit bagi mengesan isu-isu jenayah yang berlaku dalam kementerian berkenaan.

“Tidak kira siapa, sesiapa sahaja yang terlibat kita pastinya akan panggil dan siasat. Tapi buat masa kini, kita belum menahan sesiapa lagi. Setakat ini, kita memang akan panggil saksi-saksi berkaitan bagi membantu siasatan.

“Media memang suka sangat SPRM ‘tangkap-tangkap’ ini,” selorohnya selepas majlis penutup Kursus ‘Anti-Corruption Training’ untuk Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Nasional (ONACC) Thailand, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azam turut mengesahkan Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Semborong telah membuat laporan menerusi wakilinya berhubung dakwaan wujudnya skandal land swap itu.

MGF21052019_KURSUS PENUTUP ONACC THAILAND05
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki (duduk tengah) bersama Komisioner NACC Thailand, Polis General Sathaporn Laothong (duduk,empat kanan) bergambar kenangan dengan bergambar dengan delegasi dan pegawai kanan ONACC Thailand pada Majlis Penutup Kursus “Anti-Corruption Training” untuk ONACC Thailand di Akademi Pencegah Rasuah Malaysia (MACA), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2019.

Sebelum ini, Kementerian Pertahanan telah membuat dua laporan kepada SPRM susulan Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang mendedahkan 16 projek ‘Land Swap’ membabitkan tanah-tanah milik kementerian itu.

Malah berdasarkan laporan JKSTUPKK, 13 daripada 16 projek pertukaran tanah itu ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga menyebabkan kerajaan kerugian lebih RM500 juta.

Hasil siasatan itu turut mendapati berlaku banyak ketirisan, termasuk penjualan tanah pada harga rendah dan projek pertukaran tanah diberikan kepada pemaju tidak berkelayakan.

Semua 16 projek pertukaran tanah itu membabitkan 2,923 ekar tanah milik kerajaan bernilai RM4.7 bilion dengan nilai projek yang sepatutnya dibangunkan ialah RM4.8 bilion.

Dalam pada itu, Azam berkata, kursus anti rasuah selama dua hari itu melibatkan 46 peserta dari suruhanjaya rasuah,  ONACC, Thailand.

“Kursus ini bagi berkongsi pengalaman SPRM lebih 51 tahun dalam membanteras rasuah dan maklum balas yang di terima dengan sangat baik sekali. Mereka sangat teruja mendengar pengalaman kita menangani rasuah di negara ini.

“Antara modul kita meliputi strategi pencegahan rasuah di Malaysia, hubungan dengan orang awam bagi menghalang rasuah, pencegahan rasuah dalam perolehan di Malaysia, integriti, penggubahan wang haram, sistem pengisytiharan serta pemulihan aset,” ujarnya. –MalaysiaGazette