Daim Zainuddin

MACHANG – Kerajaan perlu memberi penekanan utama dalam menangani isu kos sara hidup rakyat dengan memberi perhatian kepada harga barang, pembinaan rumah mampu milik dan penurunan kadar tol.

Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin berkata, isu-isu tersebut perlu diberi perhatian utama apabila kerajaan Pakatan Harapan mula memasuki tahun kedua pemerintahannya.

Ini kerana menurutnya, kerajaan sebelum ini sibuk untuk menyelesaikan isu-isu seperti Felda, Lembaga Tabung Haji dan hutang negara.

“Pertama kerajaan kena fokus perkara seperti harga barang. Ya kos sara hidup, ini kena beri perhatian.

“Kedua (kerajaan) perlu bina rumah. Banyakkan bina perumahan mampu milik dan ketiga turunkan harga tol, ” katanya kepada media pada sidang media dalam lawatan ke Koperasi Keluarga Haji Zabir Kelantan Berhad di Machang hari ini.

Bagaimanapun ketika ditanya mengenai langkah-langkah yang perlu diambil kerajaan untuk mengatasi masalah berkenaan, Daim yang pernah menjawat jawatan Menteri Kewangan itu enggan mengulas lanjut.

“Ini pandangan saya sebagai rakyat, sama seperti kamu jugalah.

“Ini yang rakyat mahukan,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai isu prestasi menteri kabinet, Daim berkata, mereka perlu diberi peluang untuk bekerja lebih keras selepas tahun pertama pentadbiran terpaksa memberi perhatian untuk menyelesaikan pelbagai isu negara.

“Seperti saya kata sebelum ini, mereka masih baru dan baru setahun (berkhidmat). Bagilah peluang, sebelum ini sibuk dengan banyak isu negara.

“Sekarang tahun kedua, mereka perlu bekerja,” ujarnya.

Daim yang melakukan lawatan kerja seharinya ke Kelantan, sebelah pagi tadi turut meninjau Pelabuhan To Bali, Pasir Puteh bagi melihat keperluan bekalan ikan untuk negeri ini dan Terengganu.

Ditanya bekalan ikan ketika lawatan, beliau mengharapkan bekalan ikan mencukupi selain harga yang rendah dapat ditawarkan kepada pengguna.

Beliau juga mengharapkan agar pasaraya turut menawarkan harga rendah terutama ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Sementara itu mengenai Piagam Permuafakatan Perpaduan antara Pas dan UMNO yang dijangka dimeterai selepas Aidilfitri nanti, Daim menganggap ia suatu perkara biasa dalam politik.

“Ini perkara biasa bukan luar biasa dan terpulanglah kepada mereka sama ada berjaya atau tidak dan ia bergantung kepada keadaan,” katanya.

Daim juga berkata, beliau bukan seorang ahli nujum untuk menentukan piagam berkenaan berjaya atau tidak ataupun memberi kesan kepada kerajaan – Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here