Akhbar Satar
Akhbar Satar

KUALA LUMPUR – Pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan sahaja sangat mengejutkan malah dikhuatiri akan mencemarkan badan itu sebagai agensi bebas.

Malah persoalan juga timbul mengapakah tidak ada calon dalam kalangan SPRM sendiri yang jauh lebih pengalaman serta mengetahui selok belok badan tersebut selain berkhidmat dalam tempoh lama sebaliknya seperti lantikan itu ada agenda disebaliknya.

Begitu luahan bekas Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Datuk Seri Akhbar Satar, beliau sebenarnya terkejut dan kecewa dengan lantikan itu yang telah dibuat lebih berunsurkan politik.

“Sebenarnya saya tidak ada apa-apa secara peribadi terhadap Latheefa sebaliknya cara lantikan ini tidak betul. Ini sudah bertentangan daripada apa yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Kita memerlukan seseorang yang jauh lebih bebas dan ‘neutral’ sebenarnya. Seseorang yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang penyiasatan, bagaimana seorang peguam seperti ini akan mengetahui mereka dalam badan ini?

“Apakah pengalaman sebenar beliau untuk mengemudi orang bawahnya yang jauh lebih layak serta ada pengalaman daripadanya sendiri? Saya sendiri tidak faham dan kerajaan perlu perjelaskan mengapa pelantikan ini dilakukan walhal ada banyak lagi calon lebih baik.

“Intergriti SPRM juga akan dipertikai malah pandangan umum terhadap badan itu juga akan berubah apatah lagi seorang dalam kalangan ahli politik walaupun sudah meletak jawatan diangkat menjawat jawatan tertinggi sebuah badan seperti anti Rasuah ini.

“PH telah mungkar dengan kandungan serta janji manifesto malah telah mungkir jani dengan rakyat yang percayakan manifesto serta kebebasan yang di aungkan oleh mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.

Jelas Akhbar Satar lagi, beliau juga mengesyaki wujudnya agenda politik lain bagi terus melemahkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Saya harap desas desus yang saya dengar itu bukan satu kebenaran, saya harap berita ini tidak benar kononnya lantikan ini bermotifkan agenda politik yang lain.

“Saya harap lantikan ini akan diperjelaskan dan dipertimbangkan sedalam-dalamnya kerana apa yang baru berlaku ini sebenarnya tidak adil dan langsung tidak mencermin integriti sebenar. Ini tidak betul,” tegasnya.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Pelantikannya adalah selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 dengan diperkenan Yang di-Pertuan Agong. –MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/06/04/maria-chin-tanya-adakah-lantikan-latheefa-ikut-jawatankuasa-pemilihan-parlimen/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/06/04/terima-kasih-saya-sudah-letak-jawatan-dalam-parti-latheefa/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/06/04/pelantikan-latheefa-macam-tak-ada-orang-lain-bidas-pas/