Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR- Kadar tol lebuh raya milik PLUS Malaysia Bhd. tidak pernah dinaikkan sejak hampir 10 tahun lalu kerana konsesi lebuh raya berkenaan telah pun dibeli oleh sayap pelaburan negara, Khazanah Nasional Bhd. dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 2011.

Menurut bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sejak pengambilan alih oleh Khazanah dan KWSP, kerajaan tidak perlu lagi membayar pampasan sebanyak RM6.5 bilion seperti yang tertakluk dalam perjanjian tambahan yang ditandatangani pada 1999.

Malah kenaikan kadar tol 10 peratus setiap tiga tahun juga tidak perlu diikut lagi, sekali gus menjadikan kerajaan dan rakyat sebagai kroni kepada pengendali lebuh raya PLUS.

“Ada yang mungkin tidak sedar bahawa harga tol lebuhraya-lebuhraya milik PLUS termasuk lebuhraya Utara Selatan yang kita bayar hari ini tidak pernah dinaikkan sekalipun pada tempoh 9 tahun saya jadi PM.

“Ini kerana Khazanah dan KWSP telah berjaya membeli PLUS dengan sepenuhnya pada tahun 2011.

“Pada masa itu, jumlah hutang pampasan yang perlu dibayar oleh kerajaan kepada PLUS kerana tidak membenarkan kenaikan kadar tol ialah sebanyak RM6.5 bilion, seperti ditakluk dalam perjanjian tambahan tahun 1999.

“Oleh itu, perjanjian konsesi dirunding sekali lagi pada tahun 2011 setelah kita beli balik tol dari tangan swasta.

“Hutang pampasan RM6.5 bilion dari kerajaan tidak perlu dibayar lagi dan kadar kenaikan tol 10 peratus setiap tiga tahun yang diberi oleh PM ke-4 dalam perjanjian konsesi asal juga tidak perlu diikut lagi.

“Dari setiap Ringgit tol yang dikutip hari ini, 51 sen akan beralih kepada kerajaan melalui Khazanah Nasional dan 49 sen kepada KWSP.

“Bukan lagi kepada pihak swasta seperti masa PM ke-4.

“Saya mengaku bersalah kerana telah menjadikan kerajaan dan rakyat sebagai kroni baru untuk lebuh raya tol PLUS,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 yang lalu berjanji untuk menghapuskan tol lebuh raya di Malaysia.

Bagaimanapun Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan memaklumkan tidak mampu untuk menunaikan janji tersebut kerana kerajaan perlu menampung perbelanjaan yang tinggi untuk mengambil alih kesemua konsesi lebuh raya yang ada.

Selain itu perlu memperuntukkan dana untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan.

Dr. Mahathir juga baru-baru ini mengesahkan kerajaan juga masih belum mengkaji cadangan untuk mengurangkan kadar tol.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. tapi selama jadi pm berita ini tidah dihebohkan. dengan tujuan boleh dapat deviden bila tol dinaikkan. sekarang ph boleh buat perancangan baru lah. bila tol dah jadi hak milik kerajaan. segala urusan menjadi senang.

Comments are closed.