Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub (tiga kiri) beramah mesra dengan sebahagian kakitangan Nafas yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Nafas di Tropicana Golf & Country Club, Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 17 JUN 2019.

PETALING JAYA – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mengumumkan dividen Dana Peladang Kebangsaan (DPK) yang berakhir Disember 2018 untuk Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) sebanyak lapan peratus membabitkan seramai 5,119 pelabur.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, DPK mencatatkan keuntungan RM9.9 juta bagi kewangan berakhir pada 31 Disember 2018 berbanding RM9.5 juta pada tahun sebelumnya.

Menurut beliau, jumlah keseluruhan agihan dividen juga meningkat sebanyak 0.7 peratus iaitu RM7.6 juta pada tahun 2018 berbanding tahun 2017.

“Walaupun dividen nominal jika dibandingkan tahun 2017, DPK mampu memberi pulangan kompetitif dan melebihi kadar inflasi secara konsisten dengan purata dividen sebenar bagi tiga tahun berturut-turut adalah 9.3 peratus,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) hari ini.

Salahuddin berkata, walaupun kadar dividen diumumkan menurun berbanding tahun sebelumnya namun jumlah agihan dividen bertambah daripada RM7.5 juta kepada RM7.6 juta yang bakal diterima 5,119 pelabur.

“Meskipun 2018 tahun yang sukar dan didominasi ketidaktentuan pasaran, DPK akan terus fokus kepada strategi pembiayaan dan kepelbagaian portfolio perbendaharaan bagi memberikan daya tahan serta pulangan memberangsangkan kepada ahli pada masa depan.

“DPK juga sentiasa berusaha mempertingkatkan prestasi untuk menjadi lebih kukuh, justeru mula mempelbagaikan aktiviti pelaburan alternatif yang berisiko rendah dan sederhana, selain meneroka produk pembiayaan baharu,” ujarnya.

Tambah beliau, mekanisma itu akan memberi manfaat kepada pelabur, sekaligus berpeluang menikmati dividen lebih konsisten setiap tahun. – MalaysiaGazette