Pengerusi Gabungan Sekretariat NGO-NGO Malaysia, Ariffin Abu Bakar bercakap pada sidang media khas mengenai pelancaran tabung biaya siasat video seks Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Ampang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 18 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Gabungan Sekretariat NGO-NGO Malaysia hari ini melancarkan tabung kutipan bagi membiayai kos untuk menghantar video intim mengaitkan seorang menteri Kabinet kepada pakar digital di luar negara.

Pengerusinya, Ariffin Abu Bakar mendakwa, langkah tersebut diambil ekoran tidak ada pihak yang berkepakaran di dalam negara ini untuk menyiasat video seumpama itu.

Katanya, perkara itu penting kerana gabungan tersebut tidak mahu politik di Malaysia dicemari kancah politik kotor sebagaimana yang berlaku pada 1998.

“Memandangkan teknologi Malaysia yang masih lagi ketinggalan, saya rasa belum mampu lagi menandingi video-video yang sedang diviralkan.

“Sebab itulah kami rakan-rakan NGO menterjemahkan agar dapat kita sama-sama menghantar siasatan tersebut ke luar negara,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tambah beliau, seketariat NGO tidak mahu adanya tangan-tangan ghaib dalam siasatan kes video itu dan disebabkan itu siasatan sendiri hendak diambil agar keputusannya selari dengan apa yang dilakukan oleh pihak berkuasa.

Katanya, NGO berkenaan juga tidak mahu ada mana-mana pihak yang terlalu berpolitik dengan kerajaan sehingga wujudnya video-video seperti ditularkan.

Dalam pada itu, ketika ditanya kemungkinan video yang disiasat oleh pihak luar akan mengganggu proses siasatan pihak berkuasa, Ariffin berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan pada Sabtu ini serta pertemuan dengan pihak berkuasa berhubung kewajaran tindakan mereka.

Ujarnya, pada masa ini pihaknya tidak menetapkan tempoh masa bagi mengumpul kutipan pembiayaan tersebut dan ia hanya akan ditentukan selepas pertemuan semula Sabtu ini. – MalaysiaGazette