Serpihan pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Donetsk, Ukraine pada tahun 2014.

KIEV – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy berharap empat suspek yang didakwa bertanggungjawab menjatuhkan pesawat MH17 diheret ke kandang tertuduh.

Beliau turut menyambut baik kesimpulan yang dibuat oleh Pasukan Bersama Penyiasatan MH17.

“Saya berharap mereka yang bersalah melakukan pembunuhan terhadap kanak-kanak, wanita dan lelaki yang tidak berdosa diletakkan dalam kandang tertuduh,” katanya dalam satu kenyataan.

Pesawat milik Malaysia Airlines itu ditembak pada tahun 2014 ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Dalam tragedi itu kesemua 298 orang penumpang terbunuh.

Semalam, penyiasat antarabangsa mengesyaki empat lelaki bertanggungjawab menembak pesawat Malaysia, MH17 dan akan didakwa atas kesalahan membunuh.

Keempat-empatnya ialah warga Rusia, Igor Girkin, Sergey Dubinsky dan Oleg Pulatov. Seorang lagi warga Ukranie, Leonid Kharchenko. – MalaysiaGazette