Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Pemimpin UMNO khususnya ahli majlis tertingginya, Datuk Lokman Noor Adam bukan penentu kepada proses siasatan video seks luar tabii didakwa mirip seorang menteri Kabinet dengan pemimpin PKR Sarawak.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, parti Melayu itu terkenal sebagai penyebar fitnah tidak layak mencampuri siasatan video seks yang kini di bawah bidang kuasa pihak polis.

“Ini masalah UMNO, dia penyebar fitnah, dia nak jadi pendakwa, dia nak jadi penyiasat, dia nak jadi hakim, dia nak menentukan segala-galanya.

“Bukan cicak mengkarung seperti ini yang nak menentukan proses siasatan, hasil siasatan dan tindakan-tindakan seterusnya.

“Dia peguam negara ker?” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan 40 kakitangan ibu pejabat PKR dan negeri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Lokman semalam yang menggesa Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu menjalani ujian poligraf membuktikan beliau tidak terlibat dalam penghasilan video lucah di luar tabii yang mirip wajahnya dan bekas Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

MGF24062019_RUMAH TERBUKA HAL EHWAL EKONOMI10
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercakap kepada media selepas Majlis Silaturrahmi Aidilfitri Kementerian Hal Ehwal Ekonomi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.foto HAZROL ZAINAL, 24 JUN 2019.

Mohamed Azmin turut mengulangi pendiriannya bahawa penyebaran video intim berkenaan merupakan perbuatan kejam dan fitnah jahat yang terancang untuk menjejaskan karier politiknya.

“Saya sudah mengambil tindakan awal kerana saya yakin ini adalah satu perbuatan yang kejam, fitnah yang jahat yang cukup terancang yang didalangi oleh orang-orang tertentu

“Ia adalah taktik politik dan saya telah mengambil beberapa langkah undang-undang atas nasihat peguam saya.

“Kita telah mengemukakan laporan qazaf, kita telah membuat laporan polis dan kita telah memberikan kerjasama terbaik kepada mereka,” katanya lagi.

Semalam Lokman menyatakakan kesediaan untuk menjalani ujian poligraf bagi membuktikan beliau terlibat atau sebaliknya berhubung penghasilan video lucah di luar tabii melibatkan dua pemimpin PKR itu.

Menurut Lokman, cadangan itu juga boleh membuktikan bahawa beliau hanyalah salah seorang penerima video seks lucah berkenaan yang disebarkan dalam grup Whatsapp bernama Jemputan Raya Azmin sejak 11 Jun lalu. – MalaysiaGazette