Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Lebih 90,000 pengguna air di 31 kawasan di Klang, Selangor mengalami gangguan air tidak berjadual disebabkan kerja-kerja membaiki paip utama yang bocor.

Ketua Komunikasi dan Perhubungan Pelanggan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd., Abdul Raof Ahmad berkata, kerja-kerja yang dilakukan pihak ketiga itu telah menyebabkan sebuah paip utama bersaiz 1,055mm yang terletak berhampiran Dataran Automobil, Persiaran Selangor, Seksyen 15, Shah Alam pecah.

“Gangguan air tidak berjadual itu melibatkan 99,454 pemegang akaun berdaftar.

“Insiden ini menyebabkan pengurangan bekalan sebanyak 70 juta liter sehari ke Kolam Takungan Air Lipat Kajang.

“Kerja-kerja pembaikan telah dilakukan segera dan kami menjangkakan ianya akan siap dalam tempoh 24 jam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kawasan-kawasan yang terjejas adalah Ambang Botanic, Bayu Perdana, Bayu Tinggi, Bayumas, Bandar Botanik, Bandar Bukit Tinggi 1 dan 2, Bandar Parkland, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Jalan Klang Banting, Jalan Raja Nong, Johan Setia, Kem Rimba, Kampung Raja Uda, Pandamaran, Persiaran Raja Muda Musa, Taman Bijaya Kampung Jawa, Taman Chi Liung, Taman Desawan, Taman Gembira, Taman Intan (Shah Alam), Taman Klang Jaya, Taman Palm Grove, Taman Petaling Indah, Taman Radzi, Taman Selatan, Taman Sentosa, Taman Sri Andalas, Taman Summit (Shah Alam), Teluk Gadong Besar dan Teluk Gadong Kecil.

Tambah Raof, maklumat dan status terkini mengenai kejadian tersebut boleh diperolehi melalui aplikasi Air Selangor atau laman web www.syabas.com.my. – MalaysiaGazette