Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) diiringi Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof (kiri) dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr. Hatta Md Ramli (kanan) menunjukkan buku semasa Pelancaran Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof menyifatkan pelaksanaan Dasar Usahawan Negara (DKN) 2030 adalah jalan baharu dalam merencanakan kejayaan masa depan negara.

Menurutnya, DKN 2030 merupakan dokumen penting kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam merangka strategi jangka panjang bagi menetapkan hala tuju keusahawanan negara.

“Saya menganggap penzahiran DKN 2030 ini sebagai ‘iltizam dan keberanian politik’ (resolute political will and aspiration) pihak kerajaan untuk mengasaskan kejayaan masa hadapan negara.

“MED (Kementerian Pembangunan Usahawan) akan mengambil peranan sebagai ‘penggerak dan peneraju’, pengisiannya perlu dihayati sama semua pihak,” katanya di majlis pelancaran DKN 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

DKN 2030 dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, ia adalah idea dan inspirasi yang digagaskan oleh Dr Mahathir sendiri yang mahu satu dasar diwujudkan melibatkan usahawan negara ini, sebagaimana beliau membentuk Kementerian Pembangunan Usahawan yang dibentuk bagi membantu usahawan.

Tambah Redzuan, penzahiran Malaysia sebagai “Negara Keusahawanan Unggul 2030” memerlukan kerajaan melihat aspek keusahawanan secara menyeluruh.

Ini termasuklah elemen latihan dan pendidikan; melahirkan lebih ramai usahawan berteraskan inovasi; perluasan akses kepada modal dan kewangan; dan pembentukan “komuniti keusahawanan” yang lebih meluas di kalangan rakyat Malaysia.

DKN 2030 merupakan dasar pertama di Malaysia yang digubal secara komprehensif dan khusus dalam bidang keusahawanan.

Ia akan menggariskan objektif, sasaran, strategi dan inisiatif pembangunan ekosistem keusahawanan merentasi semua bidang industri dan merangkumi setiap peringkat usahawan dan masyarakat di negara ini. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.