Nazri Ahmad. foto NOOREEZA HASHIM, 11 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Komuniti nelayan Pulau Pinang yang terlibat langsung dengan projek tambakan laut membidas cadangan syarikat perunding projek berkenaan yang mencadangkan nelayan boleh menjadi pengawal keselamatan dan pemandu teksi laut.

Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Nazri Ahmad berkata, cadangan tidak masuk akal itu mencetuskan kemarahan lebih 5,800 nelayan di negeri berkenaan.

Katanya, kesemua mereka terlibat secara langsung akibat penambakan laut untuk pembinaan tiga pulau itu yang dibimbangi akan menjejaskan hasil laut nelayan dan menghancurkan generasi masa depan nelayan hanya yang bergantung sepenuhnya pada laut.

“Pihak perunding berkenaan dakwa tak banyak nelayan yang terlibat dan semuanya laporan palsu sehingga menidakkan hak kami.

“Perairan kecil yang bersempadanankan Perak dan Kedah ini jika membawa projek sebegini besar akan menyebabkan kerugian kepada seluruh nelayan di kawasan itu.

“Kita ada 5,800 keluarga nelayan yang mana isi rumah akan terjejas teruk dan apa yang kami bengang dengan perunding ialah suruh nelayan jadi sekuriti dan teksi laut.

“Nelayan bukan karakter jenis ‘punch card’ dan duduk di pejabat.. dia nak pergi dan balik kerja untuk diri sendiri dan keluarganya.

“Kalau sehari dia tak tengok laut hati dan kehidupan dia tak boleh tenteram, hari-hari dia kena tengok laut jika tidak akan hadapi tekanan mental tapi kamu suruh bawa teksi laut dan jadi pengawal keselamatan, tak masuk akal wahai perunding” katanya ketika ditemui wartawan di Parlimen hari ini.

Pagi ini, mereka berpiket beramai-ramai sebagai mendesak kerajaan menghentikan segera projek tambakan laut di Pulau Pinang.

Mereka telah berjumpa dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan menyerahkan memorandum yang mengandungi segala laporan berkaitan projek dan kesan yang bakal ditanggung komuniti nelayan serta ekosistem kehidupan laut supaya rancangan itu dibatalkan segera.

Menurut Nazri, kerjaya pembawa teksi laut juga sukar memandangkan harga petrol yang tinggi sekarang dan tidak mendapat sambutan.

“Grab sekarang dari Balik Pulau ke Komtar baru RM15, kalau teksi laut mungkin RM60, jadi siapa nak naik? Ini cadangan dibangkitkan perunding tidak boleh diterima,” katanya.

Malah beliau mengakui ada juga cadangan supaya nelayan beralih dari kerja tangkap ikan kepada projek akuakultur.

“Untuk skala ini nelayan perlukan perbelanjaan modal yang tinggi..sekurangnya-sekurangnya satu projek akua yang membolehkan menguntungkan menjana pendapatan nelayan in memerlukan peruntukan RM4 hingga RM5 juta.

“Bolehkah pihak perunding bayar pampasan sebegitu rupa untuk nelayan..kedua dua cadangan perunding itu tak masuk akal dan tidak berasas selain tidak bertanggungjawab.

“Kami kini bersandar sepenuhnya kepada Kementerian Pertanian sebab kita di bawah naungan mereka dan harap kami berharap Majlis Mesyuarat Fizikal Negara meneliti semula projek ini dan tanpa sebarang syarat batalkan segera projek berkenaan.

“Ketua Menteri Pulau Pinang pun baik orangnya yang suka dengar rintihan rakyat, maka harap kami diselamatkan dengan hentikan projek tambakan itu..sebab itulah kami dukung slogan ‘tak mahu tambakan laut’,” ujarnya.

Justeru katanya, pihaknya juga tidak yakin dengan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) oleh syarikat SRS yang dilantik perunding pemaju yang mana berkemungkinan adalah berat sebelah di mana mencetuskan persoalan mengenai siapa yang membayar pelantikan konsultan sama ada kerajaan negeri atau pemaju.

“Sudah tentu laporan memihak pihak tertentu mungkin tak dibuat secara terperinci yang mungkin tak ambilkira Penilaian Kesan Sosial.

“Bagi nelayan sudah pasti tambakan laut untuk pulau buatan dan perlombongan pasir akan mengancam hasil pendapatan laut.

“Nelayan dia banyak melabuh pukat dan pelanggaran pukat-pukat dengan kapal pengangkutan yang berkemungkinan akan menyebabkan pergaduhan di dasar laut,” tegasnya.-MalaysiaGazette