KUALA LUMPUR – Belum pun setahun, enam bekas ahli Parlimen UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), hari ini memaklumkan MalaysiaGazette salah seorang daripadanya bakal meninggalkan parti itu.

Menurut sumber, salah seorang daripadanya ialah bekas pemimpin UMNO Selangor iaitu Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh.

Sumber berkata, langkah itu dibuat oleh Mohamad Fasiah atas kapasiti persendirian dan tidak melibatkan lima lagi rakannya yang lain ketika diterima menyertai PPBM, 12 Februari lalu.

Pada 14 Disember lalu, enam ahli Parlimen UMNO mengumumkan keluar parti dan menjadi ahli Parlimen Bebas.

Selain Mohamad Fasiah, mereka ialah Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Bagaimanapun mereka hanya diterima masuk ke dalam PPBM oleh Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu majlis ringkas di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, 12 Februari lalu.

Dalam pada itu, sumber turut memberitahu MalaysiaGazette bahawa Mohamad Fasiah mengambil langkah itu kerana didakwa kecewa selepas beberapa janji yang ditaburkan sebelum ini tidak ditunaikan.

Sumber tidak menolak kemungkinan janji tersebut mungkin melibatkan jawatan serta imbuhan tertentu selepas menyertai parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.