Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPT PPBM di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 15 JULAI 2019

PUTRAJAYA – Dakwaan Datuk Hamidah Osman beliaulah pemberi maklumat kepada Datuk Seri Najib Razak mengatakan Bersatu adalah cadangan veteran DAP, Lim Kit Siang tidak benar.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berseloroh Hamidah perlu menempatkan dirinya ke Hospital Tanjung Rambutan kerana mengeluarkan dakwaan seumpama itu.

Dalam nada sinis disusuli ketawa  pimpinan Bersatu yang ada bersama sidang media, Pengerusi Bersatu itu berkata, hanya orang ‘tidak siuman’ sahaja percaya dengan dakwaan tersebut.

Kata Mahathir, dakwaan yang dipercayai oleh segelintir pihak itu seolah-olah mengambarkan orang Melayu tidak mampu berfikir sehingga memerlukan pimpinan parti lain seperti DAP untuk menubuhkan sebuah parti Melayu.

“Macam ini, Kit Siang panggil semua pemimpin Melayu kemudian membuat keputusan supaya kita semua tubuhkan Bersatu, maka kita mengangguk dan berkata ‘ya, ya’.

“Kalau hendak percaya cerita itu, anda percayalah. Anda pastinya mempunyai rasa rendah diri yang sangat besar dan kuat dalam diri sehingga mempercayai cerita itu dengan menganggap orang Melayu ini tidak boleh berfikir sendiri,” katanya.

Hamidah sebelum itu mendakwa hadir dalam satu mesyuarat dipanggil oleh Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana ketika menjadi antara pimpinan Bersatu selepas gerakan Deklarasi Rakyat dilihat gagal membuahkan sebarang impak.

“Saya hadir dan Kit Siang juga ada. Dalam perbincangan kami, di depan saya, Kit Siang sendiri mencadangkan kepada Mahathir agar menubuhkan sebuah parti Melayu macam UMNO bagi mendapatkan 10 peratus daripada undi UMNO, yang mana jika itu berjaya dilakukan, Pakatan Harapan akan dapat menubuhkan sebuah kerajaan.

“Jadi, kalau hendak tanya siapa yang memaklumkan pada Najib, saya dengan ini memberi pengakuan bahawa sayalah orang yang hadir ketika perkara itu dibincangkan antara Dr. Mahathir dan Kit Siang,” dakwa Hamidah.

Hamidah kini menjadi pemimpin parti Putra pimpinan Datuk Ibrahim Ali. –MalaysiaGazette