Surat dari kerabat Raja sebuah kerajaan.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keseluruhan had kredit RM3 juta telah dibelanjakan untuk ahli kerabat Raja kanan sebuah kerajaan pada 8 Ogos 2014.

Beliau menegaskan, kad kredit tersebut adalah atas namanya dan bukan kad kredit SRC.

“Perbelanjaan ini adalah untuk hadiah kepada ahli kerabat Raja kanan sebuah kerajaan serta rombongan mereka yang mempunyai hubungan baik dengan negara kita.
(Bukan Arab Saudi atau Abu Dhabi)

“Mereka sekeluarga serta rombongannya telah bersama kita dalam kunjungan kita sekeluarga ke Italy masa itu,” katanya di laman Facebook.

Najib mengulas laporan berita mahkamah bagi perbicaraan kes SRC International semalam yang antara lain memetik saksi kes mendedahkan bahawa dua kad kredit milik beliau telah digunakan untuk perbelanjaan RM3.3j dalam sehari.

Mengulas lanjut, bekas perdana menteri itu berkata, adalah menjadi amalan biasa untuk memberi hadiah kepada pemimpin kerajaan lain.

“Biasanya kerajaan yang akan tanggung kos hadiah (seperti PM ke-4 bagi hadiah besar untuk rumah peribadi Presiden Mugabe dari Zimbabwe dahulu) tapi kali ini, saya bayar dengan kad kredit saya.

“Pembelian dan pemberian hadiah itu pada 8 Ogos 2014 itu juga telah dibalas dengan sepucuk surat bertarikh 15 Ogos 2014 dari penerima hadiah,” katanya.

Menurut Najib, beliau ‘menyorokkan’ nama penerima hadiah tersebut di dalam hantaran di Facebook kerana bimbang ia akan digunakan, bagaimanapun surat asal tersebut akan dikemukakan kepada mahkamah sebagai bukti kes.

“Masa itu, penjelasan dari peguam saya juga akan dikemukakan.

“Oleh kerana kes SRC in masih dalam perbicaraan, saya tak dapat menjelaskan dengan lebih lanjut pada masa ini,” katanya.

Najib juga mendakwa tidak semua tajuk berita dari kerajaan Pakatan Harapan boleh dipercayai secara bulat-bulat kerana ianya amat selektif.

“Itulah sebab saya telah beberapa meminta perbicaraan kes saya disiarkan secara langsung supaya Rakyat tahu cerita sebenar.

“Tapi PH tak mahu,” katanya. – MalaysiaGazette