Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin bercakap kepada media selepas Karnival Akademik Penyelidik dan Inovasi (Kapi 2019) di Institut Pendidikan Guru (IPG), Bandar Baru Bangi, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 16 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan meminta semua warga pendidik menerapkan nilai kasih sayang dalam pembelajaran mereka bagi mewujudkan suasana yang positif dan dinamik.

Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, nilai kasih sayang itu perlu dijadikan budaya dan diamalkan dalam kalangan mereka, termasuk pensyarah, guru, pelajar sekolah dan penuntut universiti, selain ibu bapa.

“Kebahagiaan hidup sebagai warga pendidik seharusnya disyukuri kerana ia merupakan salah satu nikmat yang diberikan kepada kita.

“Kebahagiaan memikul amanah sebagai pendidik itu dijadikan wacana yang membawa kita untuk mencapai wawasan dalam bidang penyelidikan dan inovasi, di samping membawa kita kepada kebahagiaan abadi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Karnival Akademik Penyelidikan dan Inovasi (KAPI) 2019 di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) di Kampus Pendidikan Islam di Bangi, Selangor, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Amin Senin.

Turut hadir, Pengarah IPGM Kampus Pendidikan Islam, Dr. Mohamad Hussin Mohamad Yusof.

Menurut Dr. Maszlee, bagi mencapai kebahagiaan itu, program pendidikan di IPG perlu direkayasa secara menyeluruh dalam memastikan kesejahteraan secara berterusan.

Ujar beliau, ia mesti dilaksanakan menerusi penyelidikan dan inovasi yang mempunyai nilai tambah serta berupaya meningkatkan mutu dan kualiti perkhidmatan.

“Menjadi harapan saya, warga pendidik mencipta kejayaan dalam mengetengahkan pelbagai idea penyelidikan dan projek inovasi dengan cara bekerja secara berpasukan.

“Ia juga perlu diterapkan semangat kasih sayang dan hormati menghormati agar serta mesti merentasi kurikulum dalam menunaikan amanah ke arah mensejahterakan anak diri,” katanya.

Beliau berkata, langkah memperkasa dan memperluas peranan IPG Kampus Pendidikan Islam hingga ke peringkat antarabangsa perlu dibuat selepas mengambil kira kebitaraan institut ini dalam aspek latihan guru dan potensinya.

“Saya gembira dengan perkembangan terbaharu IPG Kampus Pendidikan Islam yang kini bukan sahaja menjadi pusat latihan guru bahasa Arab dan Pendidikan Islam dalam negara, bahkan sudah mula melatih guru persediaan ke Timur Tengah,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.