SPRM
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
KUALA LUMPUR – Orang politik kerap menghadiri kenduri perkahwinan dan majlis pengebumian dalam usaha meningkatkan populariti, keadaan yang mendorong kepada penyalahgunaan peruntukan untuk kawasan, kata Latheefa Koya.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata, sebarang dana tambahan sepatutnya tidak digunakan untuk tujuan meningkatkan populariti.

Beliau berkata lagi, ahli politik tidak mempunyai kewajipan untuk menghadiri majlis perkahwinan atau pengebumian.

“Malaysia harus mengubah budaya politik seperti ini.

“Di United Kingdom, tiada Ahli Parlimen yang menghadiri majlis perkahwinan atau pengebumian. Ini bukan sebahagian kerja politik,” katanya dipetik China Press.

Ujar Latheefa, semakin sedikit duit yang perlu dibelanjakan orang politik, maka semakin kurang potensi mereka terlibat dalam rasuah.

Beliau berkata, sebelum berbincang tentang kawalan sumbangan dana politik, isu asasnya perlu diselesaikan dahulu.

“Ia tidak lain dan tidak bukan orang politik mesti bersedia untuk mengisytiharkan harta, jangan mencari alasan sahaja.

“Apakah tujuan dana politik? Adakah ia untuk memastikan orang politik mempunyai dana yang seimbang untuk selesaikan tugas politik atau untuk meningkatkan populariti?

“Ia bukan alasan yang munasabah jika budaya politik Malaysia adalah mengagihkan duit demi merai populariti,” katanya.

Tambah Latheefa, SPRM tidak akan menyiasat selepas ahli politik mengisytiharkan harta mereka.

“Siasatan hanya akan dijalankan jika kekayaan mereka bertambah secara mendadak dan mencurigakan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.