CHENNAI – Pengasas serta pemilik rangkaian restoran makanan sayur-sayuran India Selatan, Saravana Bhawan meninggal dunia di hospital semalam akibat sakit jantung.

Agensi tempatan melaporkan, P Rajagopal, 72 yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah membunuh suami seorang wanita yang bekerja dengannya.

Wanita itu dikatakan sangat digilai oleh Rajagopal sehingga menyebabkan kematian suaminya pada 2004 dan dijatuhkan hukuman penjara yang hanya dikuatkuasakan pada awal bulan ini.

Menurut jurucakap hospital, mendiang dimasukkan ke pusat perubatan Vijaya Hospital di Vadapalani Chennai selepas mengadu sakit dada sejak Selasa lepas.

“Kita cuba untuk memulihkan komplikasi jantung beliau namun tidak berjaya dan beliau menghembuskan nafas terakhirnya semalam sekitar 10.40 pagi. Memang sejak awal lagi beliau sudah mempunyai masalah kesihatan berikutan umur yang lanjut.

“Malah sejak Selasa lepas, beliau hanya bernafas menggunakan mesin sokongan serta ventilator malah keadaanya menjadi semakin kritikal,” katanya.

Saravana Bhawan1Bagi segelintir orang, Rajagopal merupakan inspirasi kerana dari kehidupan miskin tegar, beliau telah berjaya mengasaskan Saravana Bhawan yang terkenal di seluruh dunia secara berperingkat.

Kekayaan beliau yang mencecah berbilion rupee itu juga memiliki rangkaian restoran di merata pelusuk termasuk India, Dubai, London, New York, Singapura, Malaysia, Sydney, Eropah dan banyak lagi.

Malah Rajagopal juga terkenal dengan nama jolokan ‘Raja Thosai’ bagaimanapun berdepan dengan hukuman seumur hidup apabila cuba menjadikan pekerja wanita beliau sebagai isteri ketiga.

Sebelum memulakan hukuman, Rajagopal merayu untuk dibebaskan atas masalah kesihatan.

Apabila dia menyerah dia pada 9 Julai, hartawan terkenal itu tiba di Mahkamah Tinggi Madras dengan menaiki ambulans dan memakai topeng oksigen. –MalaysiaGazette

Hotel Makanan