Muhammad A'zlan Abu Bakar
Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT), Muhammad A'zlan Abu Bakar. foto AFFAN FAUZI, 28 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut) menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bersikap tegas dalam menangani skandal seks di luar tabii yang terpalit kepada salah seorang menteri Kabinetnya.

Pengerusinya, Muhammad A’zlan Abu Bakar mendakwa, sekiranya ia dibiarkan berlarutan, kelak boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan pentadbiran dan ekonomi negara kerana masalah politik itu.

“Kes ini merupakan satu tuduhan yang serius bila mana ia merupakan salah laku tidak bermoral.

“Ini dilihat apabila tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang terlalu awal membuat andaian terhadap kes video lucah ini.

“Ia telah menyebabkan imej kepimpinan kerajaan hari ini terjejas dan juga Menteri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammad A’zlan juga membidas tindakan Anwar yang mendahului hasil siasatan pihak polis kerana ia boleh menggugat soal keselamatan dan pentadbiran kerajaan secara tidak langsung.

“Tuntut menasihatkan Datuk Seri Anwar supaya melihat kebelakang di saat drama tuduhan video lucah seperti ini berlaku terhadap beliau dahulu yang mana beliau mendapat sokongan kuat sebelum disabitkan salah.

“Soal ketulenan video atau dalang konspirasi itu haruslah diselesaikan segera agar tidak mengheret dan menjejaskan pentadbiran negara,” kataya.

Tegasnya lagi, Perdana Menteri perlu memainkan peranan dalam menjaga nama baik Malaysia terutamanya dengan tidak lagi berlengah dan mempercepatkan siasatan terhadap tuduhan ini.

“Pihak berkuasa juga hendaklah membuktikan kepada rakyat bahawa siasatan mesti telus dan adil tanpa prajudis dilakukan bagi membuktikan dalang serta individu di dalam video seks itu.

“Tindakan juga harus diambil bagi manjaga nama baik Malaysia terutamanya dengan negara-negara jiran Malaysia.

“Reputasi Malaysia sebagai negara Islam juga harus dijaga dan diberi perhatian daripada dibelenggu dengan kes-kes kepimpinan yang mempunyai rekod salah laku seks seperti ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette