Siti Nurhaliza

KUALA LUMPUR – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza kini menduduki tangga teratas sebagai wanita paling dikagumi di Malaysia.

Pengumuman itu hasil kajian portal YouGov iaitu sebuah firma penyelidikan pasaran antarabangsa dan analisis data berasaskan internet.

Siti, 40, menewaskan senarai 24 individu popular lain tanah air.

Menerusi kajian YouGov, Siti mengumpul sebanyak 20.01 peratus untuk markah kekaguman (admiration score).

Isteri perdana menteri, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali beradq di tangga kedua dengan markah 7.54 peratus dan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail di tempat ketiga dengan 7.19 peratus.

Tempat keempat dan kelima pula diisi oleh selebriti antarabangsa iaitu pengacara Oprah Winfrey dan Angelina Jolie.

Antara tokoh antarabangsa lain yang disenaraikan ialah Ratu England Elizabeth II (tempat ke-9), penyanyi Taylor Swift (tempat ke-10) dan aktivis Malala Yousafzai (tempat ke-13).

Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Rosmah Mansor pula berada di tempat ke-19.

Bagi kategori lelaki paling dikagumi di Malaysia, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendahului senarai dengan markah 16 peratus diikuti Angkasawan Negara, Datuk Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha.

Nama lain dalam senarai tersebut termasuk pengasas Alibaba Group Jack Ma (tempat kelima), legenda badminton Lee Chong Wei (tempat keenam) dan pelakon Bollywood Shah Rukh Khan (tempat ke-13). – MalaysiaGazette