Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Noor Azam Jamaludin.

KUALA SELANGOR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan pontun milik kontraktor Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) disabotaj oleh tiga individu yang memancing di kawasan itu sehingga menyebabkan pencemaran minyak di Sungai Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pihaknya menerima laporan polis yang dibuat oleh KSSB malam tadi dan mereka mendakwa terdapat tiga pemancing di kawasan pontun itu beberapa hari sebelum berlaku pencemaran.

“Selepas siasatan dijalankan, pihak kami mendapati terdapat dua tong minyak yang dikatakan telah dicabutkan klip hos dari tong tersebut dan dinyatakan juga sebanyak 100 liter minyak diesel telah keluar dari tong tersebut.

“Sebelum kejadian tersebut, terdapat tiga orang pemancing di kawasan tersebut, apabila pekerja dari syarikat potun tersebut menegur mereka supaya keluar dari kawasan tersebut,

“Pada mulanya mereka enggan keluar kerana leka memancing. Apabila mereka diarahkan keluar, kemungkinan besar mereka telah melakukan sabotaj,” katanya pada sidang media di Loji Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) di sini hari ini.

Noor Azam juga berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar yang telah menyebabkan Sungai Selangor tercemar sama ada disebabkan oleh tindakan sabotaj atau kecuaian lain.

Jelasnya, sehingga kini pihaknya hanya mendapat maklumat bahawa suspek terbabit didapati menaiki motosikal jenis Honda EX-5 namun nombor pendaftaran gagal diperoleh.

“Motosikal terbabit tiada nombor pendaftaran dan kami masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti suspek kerana ramai pemancing selalu datang ke situ.

“Kawasan pontun itu terbuka dan merupakan laluan air. Kemungkinan banyak ikan di bawah pontun itu hingga ada yang memancing di situ,” katanya.

Kata Noor Azam lagi, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak KSSB, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam siasatan kes pencemaran itu.

Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu pengkhianatan dengan cara merosakkan kerja-kerja pengairan atau secara salah menyimpang aliran air.

“Sabit kesalahan boleh dikenakan penjara 5 hingga 30 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katannya lagi. – MalaysiaGazette