Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ditempelak kerana sungguh sombong dan angkuh apabila membuat kenyataan mahu Sarawak membayar hutang terlebih dahulu sebelum memberi peruntukan pembaikan sekolah daif di Sarawak.

Guan Eng juga didakwa selalu sangat mengeluarkan kenyataan bodoh seperti mana sebelum ini pernah mengata Sarawak akan bankrap.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, Guan Eng sepatutnya tidak perlu meminta Sarawak membayar hutang dahulu sebelum meluluskan peruntukan pembaikan sekolah daif di Sarawak.

Menurutnya, sejurus tamat Temurapat politik DAP Kebangsaan sebelum PRU14 yang lalu, Guan Eng dengan lantang mengumumkan bahawa kalau Pakatan Harapan menang PRU14, mereka akan memberi keadilan kepada Sabah dam Sarawak yang kononnya dianaktirikan oleh BN.

Malah, Lim Guan Eng terang-terangan mengatakan beliau bersetuju Sabah dan Sarawak diberikan 20 peratus royalti minyak. (Rujuk: https://m.kinitv.com/v…/cdfcf322-7052-4a5e-ade4-13115563807d).

Pada 26 Julai 2018, The Edge Markets menyatakan jumlah 5 peratus royalti minyak Sarawak ialah RM1.58 bilion, ini bermakna tambahan 15 peratus yang dijanjikan oleh Lim Guan Eng dan manifesto PH berjumlah RM4.74 bilion.

Untuk Sabah pula jumlah 5 peratus royalti minyak berjumlah RM1.32 bilion dan tambahan 15 peratus pula berjumlah RM3.96 bilion. (Rujuk: https://www.theedgemarkets.com/article/oil-royalty-focus).

“Tahun pertama Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan, dia ambil RM82 bilion dari Petronas. Saya pasti kebanyakan daripada duit RM82 bilion itu datangnya dari keuntungan Petronas di perairan Sarawak.

“Lim Guan Eng sepatutnya tidak perlu meminta Sarawak bayar hutang dahulu sebelum meluluskan peruntukan pembaikan sekolah daif di Sarawak. Begitu juga dengan Sabah. Lim Guan Eng perlu tunaikan janji untuk memberi tambahan 15 peratus  royalti minyak (RM3.96 bilion) kepada Sabah juga.

“Sebagai Menteri Kewangan, tunaikanlah janji dia dahulu untuk membayar tambahan royalti minyak 15 peratus atau RM 4.74 bilion kepada Sarawak. Bukan saja pembaikan sekolah daif dapat dilaksanakan, hutang Sarawak kepada Kerajaan Pusat pun akan dapat dilangsaikan sepenuhnya!,” ujar Abdul Rahman. – MalaysiaGazette