Boris Johnson. foto Agensi

LONDON – Boris Johnson telah dipilih sebagai pemimpin baharu Konservatif dalam undian ahli-ahli parti itu.

Dengan keputusan tersebut Johnson  juga dilantik sebagai  Perdana Menteri Britain yang baharu.

Johnson mendapat 92,153 undi berbanding pencabar terdekatnya, Jeremy Hut yang menerima 46,656 undi.

Bekas Datuk Bandar London itu akan menggantikan Theresa May.

Dalam ucapan kemenangannya, Johnson berjanji akan “melaksanakan Brexit, menyatukan negara dan mengalahkan Jeremy Corbyn”.

Bercakap di pusat Queen Elizabeth II di London, beliau berkata: “Kami akan memberi tenaga kepada negara ini. Kami akan melakukan Brexit pada 31 Oktober dan mengambil kesempatan daripada semua peluang yang akan dibawa dengan semangat baharu”.

Johnson juga mengucapkan terima kasih kepada May yang telah memberi peluang kepadanya berkhidmat dalam Kabinet.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Luar sebelum melepaskan jawatan disebabkan isu Brexit.

May pula yang melepaskan jawatannya berikutan pemberontakan oleh Ahli Parlimen Konservatif disebabkan dasar Brexit – mengucapkan selamat bertugas kepada penggantinya dan berikrar akan terus memberi sokongan penuh kepada Johnson. – MalaysiaGazette