Bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu.

KUALA LUMPUR – Saksi ke-54 perbicaraan SRC International melibatkan dakwaan penyewelengan dana sebanyak RM42 juta hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau serta beberapa lagi pegawai Ambank telah ditawarkan kerja dengan gaji sebanyak RM60,000 oleh Low Taek Jho atau Jho Low.

Bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping mendedahkan, Jho Low yang kini sedang diburu pihak berkuasa membuat tawaran itu dengan mengajaknya dan ‘kumpulannya’ untuk bekerja dengan SRC International.

Pendedahan itu sejurus selepas peguam bela, Harvinderjit Singh membacakan pesanan balas antara Joanna dan Jho Low pada 24 November 2013 dalam Blackberry Messenger (BBM) milik wanita itu.

Joanna akui perbualan serta tawaran itu sambil mendedahkan Jho Low juga bertanyakan kepadanya seandainya dia kenal mana-mana Ketua Pegawai Kewangan yang efisyen dan handal mengendalikan SRC International.

Antara nama yang timbul ialah rakan sekerjanya, Daniel Lee untuk jawatan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) dan nama Kristal Yap yang juga pernah mengendalikan akaun peribadi Najib timbul dalam perbualan tersebut.

Joanna: Dia (Jho Low) mahu ambil kami semua bekerja dengannya dan kami awal-awal lagi sudah tolak.

Harvinderjit: Itu adalah tawaran lumayan sehingga RM60,000.

Joanna: Kami semua tidak mahu bekerja dengannya.

Harvinderjit: Adakah RM60,000 itu untuk sebulan gaji?

Joanna: Saya tidak berapa ingat.

MGF29072019_NAJIB RAZAK MAHKAMAH_21
Peguam kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Harvinderjit Singh

Harvinderjit kemudian membuat andaian Jho Low semestinya orang yang berkuasa sehingga boleh menggajikan pegawai kewangan untuk bekerja dalam syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bagaimanapun Joanna menafikan tahu menahu tentang perkara itu.

Peguam bela itu juga berterusan mengasak sambil cuba memberi bayangan walaupun pemegang mandat merangkap bekas Ketua Eksekutif SRC International adalah Nik Faisal Ariff Kamil namun kuasa seolah-olah dalam tangan Jho Low.

Malah Jho Low dibayangkan mempunyai kuasa serta kekebalan kerana memainkan peranan penting dalam syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) melalui transaksi di Ambank.

Joanna juga pada keterangan pagi tadi mengakui Jho Low sememangnya mempunyai keupayaan untuk mengawal dana SRC International selain daripada mendedahkan bekas Ketua Kewangan 1MDB, Terence Geh juga menerima arahan daripada ahli perniagaan itu.

Pasukan peguam bela juga telah cuba memberi andaian serta bayangan bahawa Jho Low telah bekerjasama dengan beberapa pegawai bank selain orang kanan SRC International dalam menyeleweng dana juga tanpa pengetahuan Najib. –MalaysiaGazette