Pesawat pejuang F-35

ISTANBUL – Israel secara rahsia melobi Amerika Syarikat (AS) untuk menghalang Turki membeli pesawat pejuang F-35 dalam usaha negara itu mengekalkan kelebihan ketenteraan di rantau tersebut, menurut laporan media Israel.

Tel Aviv mula menggesa White House menggugurkan Ankara daripada program F-35 selepas Presiden Recep Tayyip Erdogan meluluskan pembelian sistem pertahanan peluru berpandu S-400 dari Rusia, lapor rangkaian televisyen Israel, Channel 12 seperti dipetik Middle East Monitor.

“Ia mengenakan tekanan ke atas Washington untuk membatalkan penjualan pesawat terkini kepada Turki,” katanya.

Turki digantung daripada progranm F-35 pada Julai lalu, dengan pentadbiran AS mendakwa sistem S-400 akan memberi kesan kepada keselamatan pesawat F-35.

Turki menafikan dakwaan tersebut dan menambah bahawa sejak sekian lama negara itu tidak berjaya membeli peluru berpandu Patriot buatan AS sebelum beralih kepada sistem S-400.

Ketika Presiden Donald Trump menentang untuk menghukum Turki berikutan pembelian itu, terdapat tekanan daripada Kongres dan pentadbiran presiden itu terhadap Turki, termasuk mengenakan sekatan.

Dalam tempoh dua tahun, Israel mula membeli pesawat F-35 dari AS yang menjadikannya sebagai satu-satunya negara di Timur Tengah yang memliki pesawat pejuang jenis itu.

Kerajaan Israel telah menandatangani perjaniian dengan kontraktor pertahanan AS, Lockheed Martin untuk membeli sekurang-kurangnya 50 buah pesawat F-35 dengan menggunakan bantuan kewangan AS.

Pesawat tersebut akan diserahkan dalam dua atau tiga kumpulan sehingga 2024. – Agensi