Datuk Seru Ahmad Husni Hanadzlah

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah memberitahu mahkamah hari ini bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan individu di sebalik dakwaan gangguan seksual terhadapnya.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Ahmad Husni yakin bekas Perdana Menteri itu berbuat demikian kerana beliau masih lagi cuba mencampuri urusan IMalaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn. Bhd. walaupun sebelum ini sudah ditegah beberapa kali.

Salah seorang daripada kakitangan Ahmad Husni pernah membuat laporan polis terhadapnya kerana melakukan gangguan seksual terhadap wanita tersebut.

Bagaimanapun pada tahun 2016, Ahmad Husni ketika diasak media termasuk di Parlimen menyatakan semua itu tidak benar dan ia merupakan kerja-kerja ‘cybertroppers’.

Shafee: Anda kata beberapa kali setiap kali bercakap tentang 1MDB, anda telah menjadi mangsa keadaan. Apa antara perkara-perkara yang telah dituduh itu?

Ahmad Husni: Skandal duit, skandal dengan perempuan.

Shafee: Adakah anda kaitkan Najib dengan tuduhan-tuduhan ini termasuk laporan polis oleh pekerja wanita anda sendiri terhadap tuduhan gangguan seksual?

Ahmad Husni: Betul.

Ketika Shafee Abdullah mahu menyambung soal tentang skandal gangguan seksual ini, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram bangkit menyoal mengapa semua itu relevan.

Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian mengarahkan Shafee Abdullah untuk tidak lagi menyoal saksi ke-55 itu tentang skandal tersebut yang padanya tidak ada saling kait dengan kes SRC International yang sudah masuk hari ke-50. –MalaysiaGazette